Lelaki tempatan maut ditembak

Gambar fail

KLANG, 7 Januari – Seorang lelaki tempatan maut ditembak di kawasan Taman Wangsa, Klang, dekat sini tengah malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki tempatan berumur sekitar 43 tahun ditemui maut akibat tembakan di Taman Wangsa, Klang malam tadi.
  • Dua suspek menaiki motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan sebelum melarikan diri.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302, orang awam diminta hubungi IPD Klang Selatan untuk bantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada 12.30 tengah malam tadi.

“Susulan itu, pasukan polis telah ke tempat kejadian dan menjumpai mayat seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 43 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DCP Mohd Zaini berkata, siasatan lanjut mendapati dua lelaki menaiki motosikal dipercayai telah ke lokasi kejadian dan melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan juga telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh,” katanya.

DCP Mohd Zaini berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. – BERNAMA