
LABUAN, 15 Januari – Sebuah syarikat disyaki menyimpan minyak diesel tanpa permit sah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menerusi Ops Bekalan di sebuah kawasan perindustrian, di sini.
- Pasukan penguat kuasa menemui 1,400 liter diesel disimpan dalam tangki di perkarangan premis perniagaan.
- Permit simpanan diesel syarikat telah tamat sejak Julai 2025 dan gagal diperbaharui.
- Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang kes disita untuk siasatan.
- Pengarah KPDN mengingatkan pemegang lesen dan permit supaya patuhi peruntukan undang-undang Akta Kawalan Bekalan.
Dalam serbuan berkenaan, pasukan penguat kuasa menemukan minyak diesel disimpan di dalam sebuah tangki simpanan yang diletakkan di perkarangan premis perniagaan syarikat terbabit.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata hasil pemeriksaan pasukan penguat kuasa mendapati sebanyak 1,400 liter minyak diesel disimpan di dalam tangki simpanan berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati permit menyimpan barang kawalan diesel milik syarikat itu telah tamat tempoh sejak Julai 2025 dan gagal diperbaharui.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan semua barang kes telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM5,880.
Dalam kenyataannya, Junaidah turut mengingatkan semua pemegang lesen dan permit barang kawalan di Labuan, termasuk pemborong barang kawalan berjadual, supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.