Dua beranak mengamuk dipercayai masalah kesihatan mental

Insiden dirakam dalam video tular menunjukkan seorang lelaki dengan sebilah parang/Foto tular

SHAH ALAM, 10 Januari — Dua beranak yang mengamuk di sebuah flat di Pandamaran, Klang pada Rabu lepas dipercayai berpunca daripada masalah kesihatan mental sebelum kedua-duanya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemantauan dan rawatan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.
  • Pihak polis berjaya menenangkan kedua-dua lelaki itu tanpa sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.
  • Insiden dirakam dalam video tular menunjukkan seorang lelaki menghalang orang ramai dengan sebilah parang di hadapan unit kediaman.

Kedua-dua lelaki berusia 46 dan 20 tahun itu bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh pihak polis.

Ketua Polis Klang Selatan ACP Ramli Kasa berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.50 malam daripada seorang lelaki yang datang ke flat berkenaan.

Menurut beliau, lelaki itu mahu mengambil adik perempuannya, sebelum bapa serta teman lelaki wanita itu bertindak mengamuk ketika satu perbincangan diadakan.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua individu terbabit mempunyai masalah kesihatan mental dan telah dihantar ke HTAR untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian tersebut.

Terdahulu, satu video berdurasi lebih dua minit tular di media sosial merakamkan seorang lelaki memegang sebilah parang dan menghalang orang ramai daripada memasuki sebuah unit kediaman di flat berkenaan.