AKPS tolak kemasukan 9 warga asing di ICQS Bukit Kayu Hitam

FOTO AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 15 Januari – Seramai sembilan warga asing, termasuk enam wanita, ditolak kemasukan ke Malaysia kerana tidak memenuhi syarat kemasukan melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan warga asing ditolak masuk di ICQS Bukit Kayu Hitam kerana tidak memenuhi syarat kemasukan.
  • Enam warga Bangladesh dilarang masuk melalui laluan darat.
  • Satu warga Taiwan dan satu warga India disyaki bukan pelancong tulen, berniat tinggal melebihi tempoh.
  • Satu wanita Hong Kong ditolak kerana namanya terdapat dalam senarai syak jabatan.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, kesemua individu terbabit terdiri daripada enam warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Taiwan, India dan Hong Kong.

Menurutnya, enam warga Bangladesh berkenaan ditolak kemasukan kerana warganegara tersebut tidak dibenarkan memasuki Malaysia melalui laluan darat.

“Sementara itu, seorang warga Taiwan dan seorang warga India pula ditolak kemasukan selepas disyaki bukan pelancong tulen serta dipercayai berniat tinggal melebihi tempoh dibenarkan dengan hanya menggunakan Pas Lawatan Sosial,” katanya.

Beliau turut memaklumkan seorang wanita warga Hong Kong juga ditolak kemasukan selepas didapati mempunyai nama dalam senarai syak jabatan.

Kesemua tindakan penolakan kemasukan itu dibuat mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

Tambahnya, semua individu yang terlibat telah diarahkan berpatah balik melalui Thailand untuk pulang ke negara asal masing-masing.

Dalam pada itu, SAC Mohd Nasarudin menegaskan AKPS akan terus komited memastikan pintu masuk negara sentiasa berada dalam kawalan rapi dan tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.