
BUKIT KAYU HITAM, 15 Januari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging babi jenis karkas tanpa dokumen import yang sah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah.
- AKPS merampas 2,000 kilogram daging babi karkas tanpa dokumen sah di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
- Rampasan dibuat selepas pemeriksaan kargo menunjukkan perbezaan berat kasar 4,200 kg dan bersih 2,200 kg.
- Nilai rampasan dianggarkan RM66,000; pengimportan daging babi dari Thailand dilarang kerana risiko ASF.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Rampasan itu dibuat hasil Operasi Khas Pemeriksaan Fizikal yang dijalankan ke atas sebuah kenderaan kargo di Laluan Kenderaan Kargo Berat di kompleks berkenaan.
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasarudin M. Nasir berkata, pemeriksaan awal mendapati kenderaan berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan sebelum diarahkan ke kaunter timbang.
Beliau berkata berat kasar kenderaan direkodkan sebanyak 4,200 kilogram, namun selepas pemeriksaan menyeluruh dijalankan, berat bersih hanya direkodkan sebanyak 2,200 kilogram.
Menurutnya, perbezaan ketara berat tersebut menimbulkan syak sebelum membawa kepada pemeriksaan lanjut terhadap muatan kargo.
Hasil pemeriksaan menemukan daging babi jenis karkas tanpa dokumen sah dengan jumlah keseluruhan dianggarkan seberat 2,000 kilogram.
Nilai rampasan daging babi jenis karkas itu dianggarkan berjumlah RM66,000.
Beliau berkata rampasan dibuat kerana pengimportan daging babi dari Thailand adalah dilarang sepenuhnya susulan ancaman penyakit Demam Babi Afrika atau African Swine Fever (ASF).
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728-MAQIS).