Kerajaan peruntuk RM30 bilion untuk SJPP, RM20 bilion bagi SJKP

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/RTM

PUTRAJAYA, 15 Januari -Lebih 14,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima kelulusan pembiayaan bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) melibatkan nilai RM14 bilion sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan jumlah jaminan SJPP kepada RM30 bilion untuk memacu pertumbuhan PKS dan ekonomi MADANI.
  • Peruntukan RM10 bilion khusus untuk sektor Bumiputera, termasuk halal, pelancongan dan industri berteknologi tinggi.
  • SJKP diperuntukkan RM20 bilion untuk membantu pembeli rumah pertama, terutama golongan berpendapatan tidak tetap.
  • Kawalan risiko ketat dan NPL sekitar dua peratus memastikan disiplin fiskal terpelihara.

Jumlah itu menjadikan seramai 85,000 usahawan PKS telah menikmati jaminan pembiayaan sejak SJPP diperkenalkan pada 2009 dengan nilai keseluruhan lebih RM116 bilion.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2026 telah meningkatkan jumlah keseluruhan jaminan SJPP kepada RM30 bilion berbanding RM20 bilion sebelum ini, sejajar matlamat untuk memacu pertumbuhan PKS dan memperkukuh ekonomi MADANI.

“Tahun ini terdapat sedikit perbezaan pendekatan apabila kita mengenal pasti sektor-sektor yang ingin diberi tumpuan termasuk penekanan kepada sektor bumiputera.

”RM10 bilion diperuntukkan khusus kepada sektor Bumiputera, selain sektor halal, pelancongan dan industri berteknologi tinggi dan dengan tumpuan ini, kita berharap dapat melonjakkan pergerakan ekonomi Malaysia,” katanya selepas Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2026 Peruntukan SJPP dan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), di sini.

Tambah beliau, penambahbaikan skim berkenaan membolehkan usahawan tempatan mengembangkan operasi, melabur dalam teknologi baharu serta mengekalkan perniagaan, walaupun berdepan tempoh ketidaktentuan ekonomi.

Pendekatan itu selaras dengan keutamaan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

Mengulas mengenai SJKP, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM20 bilion bagi skim itu bagi membantu pembeli rumah pertama, khususnya golongan berpendapatan tidak tetap, untuk memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, peningkatan jaminan tersebut membolehkan institusi kewangan memberikan pembiayaan dengan lebih mudah, selain meningkatkan kadar pemilikan rumah negara selaras sasaran sejuta rumah mampu milik menjelang 2034.

Sejak diperkenalkan, SJKP telah memanfaatkan lebih 27,000 permohonan, dengan jumlah pembiayaan bernilai RM7 bilion diluluskan.

Secara keseluruhan, jumlah kelulusan jaminan bawah skim itu telah melebihi 104,000 permohonan, dengan pembiayaan berjumlah RM25 bilion sejak 2007 hingga Disember 2025.

Mengulas kebimbangan terhadap risiko kewangan, beliau berkata peluasan jaminan pembiayaan itu tidak menjejaskan disiplin fiskal negara, susulan kawalan risiko yang dilaksanakan secara rapi melalui proses saringan ketat oleh institusi kewangan serta SJPP.

Beliau turut memaklumkan tahap pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal berada pada paras terkawal dan masih terurus, dengan purata sekitar dua peratus.