
KUALA LUMPUR, 24 Januari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap masyarakat terus menghargai karya dan sumbangan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam industri hiburan negara.
- Karya P. Ramlee mencerminkan nilai, budaya dan identiti seni negara.
- Karyanya mengajar pentingnya kreativiti dan dedikasi dalam berkarya.
- Karya dan sumbangan beliau mesti terus dihargai dan dipelihara generasi kini.
- Persembahan konsert moden membantu mengenang dan memartabatkan warisan P. Ramlee.
Datuk Seri Anwar berkata, karya P. Ramlee bukan sahaja hiburan semata-mata, tetapi juga cerminan nilai, budaya dan identiti seni negara.
Beliau berkata, P. Ramlee turut mengajar tentang pentingnya kreativiti dan dedikasi dalam berkarya selain memberikan inspirasi kepada semua.
“Malam tadi, saya berkesempatan menonton Konsert Live P. Ramlee ‘Madu Tiga’ di Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) hasil pimpinan konduktor hebat Ahmad Muriz Che Rose, bersama-sama pasukannya yang begitu berdedikasi dan profesionalisme dalam menyampaikan persembahan muzik yang begitu mengagumkan.
“Semoga generasi masa ini terus menghargai dan memelihara warisan seni ini serta mengenang sumbangan Allahyarham P. Ramlee dalam industri hiburan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.