JS-SEZ pacu peluang pekerjaan bernilai tinggi, sokong agenda pembangunan Johor

Pengarah Urusan Bradshaw Mitchell, Prakash Nagarajan

PETALING JAYA, 16 Januari – Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) merupakan pemangkin penting dalam memperkukuh integrasi ekonomi Malaysia–Singapura, khususnya melalui penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih cekap dan berdaya saing.

RINGKASAN BERITA AI
  • JS-SEZ memperkukuh integrasi ekonomi Malaysia–Singapura sambil mencipta pekerjaan bernilai tinggi dan menarik pelaburan berkualiti.
  • Pembangunan JS-SEZ dapat mengimbangi peluang kerja antara Johor dan Singapura, mengurangkan kebergantungan penduduk Johor ke luar negara.
  • Penambahbaikan dasar dan logistik rentas sempadan, serta kerjasama awam-swasta, meningkatkan keberkesanan dan daya saing ekosistem perniagaan.

Pengarah Urusan Bradshaw Mitchell, Prakash Nagarajan berkata, pelaksanaan berkesan di peringkat operasi akan memastikan dasar yang dirangka memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di negara ini.

“Saya merujuk kepada jenis pekerjaan yang diwujudkan. Johor sebelum ini dikenali sebagai pusat pembuatan kos rendah, tetapi kini telah berubah dan berkembang pesat.

”Seiring perkembangan ini, perlu diwujudkan pekerjaan pada tahap berbeza dengan gaji lebih tinggi untuk mengekalkan bakat tempatan,” katanya pada sesi perbincangan mengenai JS-SEZ sempena program CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute.

Mengulas lanjut, Prakash berkata usaha kerajaan membangunkan JS-SEZ berpotensi mengimbangi peluang pekerjaan antara Johor dan Singapura, sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk Johor kepada pasaran pekerjaan di luar negara.

Sementara itu, beliau berkata penambahbaikan berterusan dalam aspek dasar serta logistik rentas sempadan akan terus memperkukuh keberkesanan zon ekonomi khas berkenaan.

“Banyak langkah yang telah dilaksanakan, termasuk pergerakan keluar masuk orang ramai yang telah diurus dengan baik. Rakyat kedua-dua negara menggunakan sistem QR untuk perjalanan rentas sempadan yang telah melancarkan perjalanan dan efisien.

”Saya berpandangan, pendekatan sama juga perlu diterapkan kepada pergerakan barangan supaya kita dapat manfaat yang lebih besar daripada ekosistem bersama yang padu dan menyeluruh,” jelasnya.

Tambahnya, dengan sokongan dasar kerajaan yang konsisten serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, JS-SEZ berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke dalam negara.