21 mayat ditemukan dalam kubur besar di Libya

Mayat-mayat tersebut dipercayai milik migran yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan untuk ke Eropah/foto REUTERS

AJDABIYA, 17 Januari – Sekurang-kurangnya 21 mayat dipercayai milik migran ditemui dalam sebuah kubur besar di timur Libya.

RINGKASAN BERITA AI
  • 21 mayat dipercayai milik migran ditemui dalam sebuah kubur besar berhampiran Ajdabiya.
  • Sehingga 10 orang terselamat dilaporkan mengalami penyeksaan sebelum dibawa ke hospital.
  • Pemilik ladang ditahan dan mengakui kewujudan kubur besar; punca kematian masih disiasat.
  • Libya terus menjadi laluan transit berbahaya bagi migran melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan.

Menurut Laporan Reuters, pihak berkuasa keselamatan menyerbu sebuah ladang berhampiran bandar Ajdabiya selepas menerima laporan mengenai migran dari Afrika Sub-Sahara yang ditahan di lokasi berkenaan.

Laporan itu menyebut, sehingga 10 individu yang terselamat ditemukan dengan kesan penyeksaan sebelum dibebaskan daripada tahanan. Mereka kemudian dibawa ke hospital dan memaklumkan bahawa terdapat migran lain bersama mereka sebelum hilang tanpa dikesan.

Reuters tidak dapat mengesahkan lokasi dan tarikh gambar yang dikeluarkan, manakala identiti mayat juga tidak dapat dipastikan. Namun, mayat berkenaan dipercayai migran dan ditemukan dalam kubur besar berhampiran Ajdabiya.

“Kubur besar itu dilaporkan terletak kira-kira 10 kilometer di tenggara Ajdabiya, sekitar 160 kilometer dari Benghazi, bandar kedua terbesar di Libya.

“Pemilik ladang berkenaan telah ditahan dan mengakui kewujudan kubur besar di kawasan miliknya, menurut sumber. Punca kematian para migran masih belum dapat dipastikan dan siasatan sedang dijalankan,” menurut laporan itu.

Sejak kejatuhan Muammar Gaddafi dalam kebangkitan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011, Libya menjadi laluan transit utama bagi migran yang melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan untuk ke Eropah melalui laluan berbahaya merentasi padang pasir dan Laut Mediterranean.

Ekonomi Libya yang bergantung kepada minyak turut menarik migran miskin yang mencari pekerjaan, namun keadaan keselamatan yang rapuh menjadikan mereka terdedah kepada penderaan dan eksploitasi. – REUTERS