
KUALA LUMPUR, 11 Februari -Malaysia perlu memberi tumpuan kepada tiga cabaran utama iaitu komitmen, penyelarasan dan kerjasama bagi menjamin kejayaan agenda perubahan iklim secara holistik.
- Perkukuh komitmen jangka panjang kerajaan terhadap agenda perubahan iklim untuk kejelasan dasar dan tindakan berterusan.
- Tingkatkan penyelarasan antara kementerian dan agensi supaya dasar iklim dilaksanakan konsisten dan tanpa pertindihan.
- Perkuat kerjasama Persekutuan-negeri untuk mempercepat pelaksanaan, elak kelewatan dan kurangkan pembaziran sumber.
- Mewujudkan undang-undang rangka kerja iklim dan integrasikan pertimbangan iklim dalam peruntukan belanjawan.
Pakar Sektor Awam Kanan World Bank, Marco Larizza berkata, ketiga-tiga elemen itu penting bagi memastikan dasar dan strategi iklim bukan sahaja dirangka, malah dilaksana secara konsisten, tersusun dan berkesan di semua peringkat pentadbiran.
Mengulas lanjut, komitmen jangka panjang kerajaan, penyelarasan antara kementerian dan agensi, serta kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh bagi mengelakkan pertindihan peranan, kelewatan pelaksanaan dan pembaziran sumber.
“Malaysia perlu menilai beberapa perkara, pertama bagaimana untuk menambah baik penyelarasan antara kementerian dan agensi supaya semuanya bergerak ke arah matlamat yang sama.
”Kedua, bagaimana untuk memberi isyarat jelas tentang komitmen negara dan kerajaan terhadap agenda perubahan iklim jangka panjang dan ketiga, bagaimana untuk memastikan insentif pelbagai pihak yang terlibat dapat diselaraskan agar selari dengan keutamaan nasional,” katanya selepas Majlis Pelancaran Laporan Penilaian Institusi Perubahan Iklim Negara Malaysia (CCIA), di sini.
Laporan tersebut menilai bagaimana institusi iklim di negara ini menyokong pelaksanaan Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0.
Selain itu, laporan CCIA juga mengenalpasti langkah-langkah berkesan untuk agenda iklim Malaysia dan bidang yang perlu diberi lebih perhatian.
Antara cadangan utama yang dikemukakan, adalah membangunkan undang-undang rangka kerja perubahan iklim yang merangkumi elemen penting dan memastikan komitmen iklim terpelihara.
Di samping itu, mengintegrasikan pertimbangan berkaitan iklim dalam proses peruntukan belanjawan dan sistem pemindahan fiskal persekutuan-negeri yang lebih luas.