Top Glove umum perubahan kepimpinan

Foto REUTERS

SHAH ALAM, 3 Mac – Top Glove Corporation Bhd mengumumkan perubahan kepimpinan apabila Pengarah Urusannya, Lim Cheong Guan akan bersara pada 31 Mac 2026 selepas 20 tahun berkhidmat dalam Lembaga Pengarah syarikat itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lim Cheong Guan bersara sebagai Pengarah Urusan pada 31 Mac 2026 dan kekal sebagai Pengarah Korporat mulai 1 April 2026.
  • Ng Yong Lin dan Lim Jin Feng dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama bermula 1 April 2026.
  • Pelantikan dwi kepimpinan mencerminkan pendekatan kolaboratif untuk memacu pertumbuhan dan nilai mampan.

Beliau bagaimanapun akan terus menyumbang kepada kumpulan sebagai Pengarah Korporat berkuat kuasa 1 April 2026.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Lim memainkan peranan penting dalam pelbagai pelaksanaan korporat dan inisiatif pengumpulan dana yang menyumbang kepada pertumbuhan dan peluasan perniagaan kumpulan.

Beliau juga memperkukuh amalan tadbir urus korporat serta inisiatif kelestarian, selain meningkatkan fungsi Perhubungan Pelabur sehingga meraih pelbagai pengiktirafan industri.

Sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepimpinan, beliau akan digantikan secara bersama oleh Pengarah Eksekutif Ng Yong Lin dan Pengarah Pemasaran Lim Jin Feng yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Bersama berkuat kuasa 1 April 2026.

Struktur kepimpinan dwi ini dilihat memperkukuh komitmen Top Glove terhadap pendekatan kolaboratif dalam membuat keputusan.

Ng mempunyai hampir 17 tahun pengalaman dalam operasi pembuatan merentas pelbagai negara, manakala Jin Feng yang telah berkhidmat selama 15 tahun membawa pengalaman luas dalam jualan dan pemasaran, pembuatan serta sumber manusia.

Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, lembaga pengarah yakin gabungan kepakaran kedua-dua pemimpin itu mampu memacu kumpulan ke fasa seterusnya dengan mengekalkan kecemerlangan dan mencipta nilai mampan kepada semua pemegang taruh.