Subsidi bersasar perlu diperkemas, imbangi keperluan rakyat, fiskal negara

Gambar hiasan

BANGI, 8 April – Impak daripada ketidaktentuan konflik geopolitik telah mendorong kerajaan menilai semula strategi reformasi fiskal termasuk pendekatan subsidi bersasar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlunya semakan berterusan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan subsidi dan memastikan bantuan disalurkan secara mampan tanpa menjejaskan perbelanjaan pembangunan.
  • Pelarasan subsidi mesti imbangi keperluan rakyat dengan keupayaan fiskal, serta mempunyai mekanisme harga jelas, kekerapan pelarasan dan jangkaan awam rasional.
  • Manfaatkan PADU, SARA dan BUDI95 bagi penyasaran subsidi lebih tepat; pertimbangkan pelepasan atau penggantungan yuran dan lesen untuk ringankan beban.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, langkah semakan berterusan amat penting bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan subsidi.

Jelas beliau, pelarasan terhadap subsidi dapat memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan keupayaan kewangan negara, khususnya dalam memastikan bantuan disalurkan secara mampan tanpa menjejaskan perbelanjaan pembangunan.

“Kaedah penentuan harga subsidi perlu jelas dari segi mekanisme pelaksanaannya, termasuk mereka yang terlibat dalam membuat keputusan. Kedua, kekerapan pelarasan subsidi dan ketiga, mewujudkan jangkaan yang lebih rasional dalam kalangan rakyat bagi mengelakkan ketidaktentuan,” katanya selepas forum “Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia?” anjuran MINDA-UKM.

Tambah beliau, pangkalan data sedia ada seperti Pangkalan Data Utama (PADU), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) boleh dimanfaatkan bagi menambah baik penyasaran subsidi bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan rentan.

Jelasnya, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah sokongan lain yang tidak melibatkan peruntukan yang besar.

Ini termasuk melonggarkan atau menangguhkan bayaran tertentu seperti yuran dan lesen diperingkat pihak berkuasa tempatan.

Langkah itu dilihat mampu membantu meringankan beban rakyat serta perniagaan kecil tanpa memberi tekanan tambahan kepada kedudukan fiskal negara.