Saham Hock Soon mula didagangkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Hock Soon Capital Bhd memulakan dagangan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia lebih rendah apabila dibuka pada 53 sen, susut tujuh sen berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 60 sen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saham Hock Soon dibuka lebih rendah pada 53 sen, menurun berbanding harga IPO 60 sen.
  • Syarikat tetap fokus pada pelan pengembangan jangka panjang dan projek pembesaran kapasiti di Teluk Intan.
  • Pengukuhan ringgit dan permintaan konsisten dijangka bantu kestabilan kos dan pendapatan syarikat.

Pengarah Eksekutifnya, Alex Ong berkata, walaupun permintaan pelabur lebih rendah daripada jangkaan, syarikat itu akan kekal memberi tumpuan kepada pelan pengembangan jangka panjang.

Beliau yakin, asas kukuh dan trajektori positif pengeluar ayam yang berpusat di Perak itu akan terus menyokong pertumbuhan syarikat untuk tempoh akan datang.

Jelasnya, ketika ini kumpulan itu memberi keutamaan kepada pembangunan projek di Teluk Intan yang dijangka memperkukuh kapasiti pengeluaran secara berperingkat.

“Pengukuhan ringgit yang ketika ini berlegar sekitar RM3.80 sen juga akan membantu mengurangkan kos makanan ternakan.

”Kebanyakan bahan makanan ternakan kami import daripada luar negara, antaranya dari Argentina, Brazil dan Ukraine,” katanya pada sidang media penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia.

Sementara itu, beliau percaya syarikat mampu mengekalkan pendapatan yang baik dan kekal berdaya tahan walaupun subsidi kepada pengeluar telur dimansuhkan.

Jelasnya, ia berdasarkan permintaan yang kekal tinggi dan konsisten terhadap makanan ruji dan sumber protein itu.