
KUALA LUMPUR, 1 April – Sempena ulang tahun ke-80 Radio Televisyen Malaysia, peranan penyiar awam ini terus diiktiraf sebagai jambatan komunikasi utama antara kerajaan dan rakyat, khususnya dalam menyampaikan dasar ekonomi negara.
- Menterjemah dasar ekonomi yang kompleks kepada bahasa mudah difahami oleh orang ramai.
- Meningkatkan kefahaman rakyat tentang rasional dan kesan dasar, membina keyakinan awam.
- Liputan meluas termasuk Sabah dan Sarawak memastikan maklumat kos sara hidup, dasar dan peluang sampai ke semua peringkat.
- Saranan perkukuh kandungan melalui penglibatan pakar, pemain industri dan penggunaan infografik, realiti tambahan serta kecerdasan buatan.
Penganalisis berpandangan, RTM bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya berperanan menterjemahkan dasar ekonomi yang kompleks kepada bahasa lebih mudah difahami.
Ia sekali gus membantu rakyat memahami rasional sesuatu dasar serta kesannya terhadap kehidupan harian.
Menurut mereka, penyampaian yang jelas dan konsisten ini penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju ekonomi negara, selain memberi isyarat positif kepada pelabur bahawa Malaysia mempunyai sistem komunikasi dasar yang telus dan berasaskan fakta.
“Melalui liputan berita, analisis dan penerangan dasar, Radio Televisyen Malaysia membantu menterjemahkan polisi ekonomi yang kompleks kepada bahasa lebih mudah difahami masyarakat.
“Lebih penting, ia memberi kefahaman yang jelas kepada rakyat terhadap dasar ekonomi, sekali gus meningkatkan keyakinan awam serta menyokong kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan negara.” katanya.
Dalam masa sama, liputan meluas RTM termasuk di Sabah dan Sarawak membolehkan maklumat berkaitan kos sara hidup, dasar kerajaan serta peluang ekonomi disampaikan secara lebih menyeluruh kepada rakyat di semua peringkat.
Penganalisis turut menegaskan, RTM bukan sekadar medium penyampai maklumat, tetapi memainkan peranan dalam membentuk naratif ekonomi yang stabil, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
Bagi memastikan kekal relevan, RTM disaran terus memperkukuh kandungan dengan penglibatan lebih ramai pakar ekonomi dan pemain industri, selain memanfaatkan teknologi seperti infografik, realiti tambahan dan kecerdasan buatan dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.