RM50 juta diperuntuk kepada MyCIF, perluas akses pembiayaan PMKS

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika berucap pada Hari Libat Urus MyCIF di ibu negara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kerajaan memperuntukkan sehingga RM50 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) bagi tahun 2026 untuk memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

RINGKASAN BERITA AI
  • MyCIF memperluas akses pembiayaan kepada PMKS, menyediakan alternatif selain pembiayaan daripada sistem perbankan.
  • Sokongan untuk inisiatif baharu termasuk Skim Ekonomi Perak serta insentif perkongsian keuntungan bagi VC dan PE melalui platform ECF.
  • Skim Keterjaminan Makanan MyCIF diperluas merangkumi syarikat agriteknologi baharu bagi merangsang pelaburan dan inovasi pertanian.
  • Sejak 2019 MyCIF menyediakan pelaburan bersama dan menarik pelabur swasta, menyokong lebih 11,500 PMKS serta pembiayaan terkumpul.

Jumlah tersebut merangkumi RM30 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 serta tambahan RM20 juta bagi mengukuhkan peranan MyCIF dalam merapatkan jurang pembiayaan PMKS.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peruntukan itu antara lain akan menyokong beberapa inisiatif baharu MyCIF termasuk Skim Ekonomi Perak (Silver Economy) serta insentif perkongsian keuntungan bagi modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) bagi menarik lebih banyak pelaburan melalui platform pendanaan ramai berasaskan ekuiti (ECF).

“Ini bermakna lebih banyak peluang pembiayaan dapat disediakan kepada syarikat melalui skim yang diperkenalkan, selain bergantung kepada pinjaman daripada sistem perbankan.

“Kadangkala syarikat kecil sukar mendapatkan pembiayaan bank kerana tiada rekod prestasi, jadi melalui mekanisme ini pihak lain juga boleh tampil membantu menyediakan dana,” katanya selepas melancarkan Hari Libat Urus MyCIF, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Skim Keterjaminan Makanan MyCIF turut diperluaskan bagi merangkumi syarikat agriteknologi baharu bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara memodenkan sektor pertanian.

Sejak penubuhannya pada 2019, MyCIF telah menyediakan lebih RM1.5 bilion pelaburan bersama dan berjaya menarik RM6.2 bilion daripada pelabur swasta, menjadikan jumlah pembiayaan terkumpul RM7.7 bilion yang menyokong lebih 11,500 PMKS.