Ringgit lonjak ke paras RM3.89, pasaran yakin kepimpinan Perdana Menteri

Ringgit mengukuh ke RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, paras tertinggi dalam hampir lapan tahun.

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Pengukuhan ringgit yang melonjak ke paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat, tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasaran menunjukkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, mencerminkan kestabilan dasar ekonomi dan politik.
  • Langkah pengurusan perbelanjaan berdisiplin dan pembanterasan ketirisan menyumbang kepada persekitaran kondusif pelaburan.
  • Pengukuhan mata wang membantu meringankan kos import barangan keperluan asas bagi rakyat.
  • Peningkatan keyakinan pelabur asing dijangka merancakkan pekerjaan dan menarik pelaburan berteknologi tinggi.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, prestasi memberangsangkan itu menunjukkan keberkesanan kerajaan dalam memastikan kestabilan politik serta pelaksanaan dasar ekonomi yang konsisten.

“Langkah pengurusan perbelanjaan negara secara berdisiplin, usaha membanteras ketirisan dan pengukuhan tadbir urus telah membantu mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelabur dan komuniti perniagaan.” katanya dalam satu kenyataann.

Tambah beliau, pengukuhan nilai mata wang ini memberi kesan langsung kepada rakyat dalam membantu meringankan kos import barangan keperluan asas.

Keadaan itu juga membuka ruang kepada kerajaan untuk meneruskan peluasan bantuan dan perlindungan sosial tanpa menambah beban kewangan rakyat.

Dalam masa sama, beliau berkata, peningkatan keyakinan pelabur asing dijangka merancakkan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor strategik seperti teknologi, pembuatan lanjutan dan tenaga boleh diperbaharui.

“Apabila lebih banyak syarikat antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka, maka lebih luas peluang-peluang ekonomi yang tersedia bagi anak muda dan usahawan tempatan,” katanya dalam kenyataan sama.

Jelas beliau, pengukuhan ringgit menghantar mesej jelas bahawa dasar ekonomi yang dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti mampu menghasilkan manfaat nyata kepada negara serta rakyat.