- Ringgit dijangka terus mengukuh menuju purata jangka panjang sekitar RM3.82 disokong faktor domestik dan luaran.
- Kemasukan dana asing ke pasaran ekuiti meningkatkan permintaan terhadap ringgit.
- Kestabilan politik dan pelaksanaan dasar reformis menarik minat pelabur asing.
- Pengukuhan ringgit memberi manfaat kepada import, margin keuntungan, pelajar luar negara dan pelancong.

KUALA LUMPUR, 25 FEB – Ringgit berpotensi untuk terus mengukuh menuju ke arah purata jangka panjang sekitar RM3.82 disokong oleh gabungan faktor domestik dan luaran.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unit tempatan itu muncul mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun lalau apabila meningkat 10.1 peratus berbanding dolar dan dijangka terus berada dalam jajaran positif tahun ini.
”Buat masa ini sememangnya ringgit meningkat melebihi mata wang di Asia dan ringgit masih lagi di kedudukan teratas, perkara ini disumbangkan kemasukan dana asing ke dalam pasaran ekuiti dan ini menunjukkan permintaan terhadap ringgit juga meningkat disebabkan tanggapan atau tinjauan positif terhadap pasaran ekuiti di Malaysia.
”Tanggapan terhadap kestabilan politik, pelaksanaan dasar yang bersifat reformis, perkara-perkara itu saya kira banyak membantu kenapa pelabur-pelabur asing mula melihat semula Malaysia ini dalam lensa yang lebih positif lagi,” katanya.
Tambahnya, pengukuhan ringgit ketika ini memberi manfaat kepada sektor import dan peningkatan dalam margin keuntungan.
Rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negara turut menikmati penjimatan dari segi kos pembiayaan dan pendidikan selain mereka yang gemar melancong.