Rakuten Trade naikkan sasaran FBM KLCI kepada 1,810 mata

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari Rakuten Trade Sdn Bhd (Rakutan Trade) menaikkan sasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada paras 1,810 menjelang akhir tahun 2026 berbanding ramalan terdahulu pada 1,730, disokong oleh aliran masuk dana asing dan peningkatan pendapatan korporat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan pendapatan korporat sekitar 7.1% dijangka terus menyokong momentum kenaikan pasaran.
  • Sektor perbankan, perladangan dan telekomunikasi dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan pasaran.
  • Rakuten Trade jangka aliran masuk dana asing pulih selepas aliran keluar bersih tahun lalu.
  • Pengukuhan ringgit berpotensi dicetuskan oleh FDI, terutamanya minat dalam pusat data dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, indeks utama itu juga berpotensi mencecah 1,900 mata pada 2027 sekiranya keadaan makroekonomi dan sentimen pasaran terus stabil.

“Peningkatan pendapatan korporat yang dijangka sekitar 7.1 peratus tahun ini dijangka terus menyokong momentum kenaikan pasaran.

“Sektor-sektor utama dengan modal pasaran yang besar termasuk perbankan, perladangan dan telekomunikasi akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ini,” katanya dalam Tinjauan Pasaran Suku Pertama Rakuten Trade secara maya.

Beliau turut menjangkakan aliran masuk dana asing yang lebih baik untuk 2026 setelah mencatatkan aliran keluar bersih mencecah lebih RM22.5 bilion tahun lalu.

Jelasnya, di sebalik aliran keluar yang tinggi, pegangan pelabur asing dalam pasaran modal negara kekal pada tahap 19 peratus dan beliau berharap angka itu berupaya meningkat kepada 25 hingga 30 peratus pada masa akan datang.

Mengulas mengenai ringgit, beliau berkata, mata wang tempatan berpotensi mengukuh ke paras RM4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), seterusnya menjadi antara pemangkin utama kepada prestasi pasaran ekuiti.

“Ini disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap ringgit dan berpotensi membawa mata wang tempatan kembali mengukuh ke bawah paras RM4.00 berbanding dolar AS,” katanya.

Menurutnya, antara pemangkin utama kepada kemasukan FDI adalah minat pelabur asing khususnya dalam sektor pusat data serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan