Prospek hartanah 2026 positif, akses pembiayaan semakin luas

Penganalisis Hartanah, Ahyat Ishak/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Prospek pasaran hartanah negara pada 2026 dilihat positif didorong pelbagai insentif kerajaan, pengukuhan ekonomi domestik serta akses pembiayaan perumahan yang lebih luas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahan dana SJKP meningkatkan peluang pembiayaan untuk pembeli tanpa slip gaji atau pendapatan tetap.
  • Kelonggaran syarat dan peningkatan had pembiayaan LPPSA memperluas akses bagi penjawat awam termasuk kontrak.
  • Pengecualian duti setem dan insentif cukai berterusan menyokong sentimen pembelian terutamanya pembeli rumah pertama.

Penganalisis Hartanah, Ahyat Ishak, berkata antara pemangkin utama pasaran hartanah tahun ini ialah penambahan dana Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM20 bilion di bawah Belanjawan 2026.

“Bayangkan rakyat Malaysia yang tiada slip gaji atau gaji tetap, bekerja sendiri atau berniaga, yang selama ini susah membeli rumah. Sekarang, dengan SJKP yang ditambah sehingga RM20 bilion, mereka mendapat peluang lebih besar untuk memiliki rumah”.

“Dana RM20 bilion ini dijangka membantu kira-kira 80 ribu pembeli, bersamaan hampir 30% daripada jumlah pembelian rumah tahunan, dengan purata harga rumah sekitar RM250,000.” Katanya selepas menjadi tetamu program Biz Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.

Selain itu, penjawat awam dijangka menjadi pemacu pasaran hartanah tahun ini susulan kenaikan gaji serta peningkatan had kelayakan pembiayaan sehingga RM1 juta dan kelonggaran syarat pembiayaan LPPSA untuk rumah kedua.

Kemasukan penjawat awam kontrak ke dalam skim jaminan pembiayaan juga membuka akses baharu kepada kumpulan yang sebelum ini berdepan kekangan untuk memiliki rumah, sekali gus memperluas asas pembeli dalam pasaran.

Pada masa sama, pengecualian duti setem dan insentif cukai yang dilanjutkan sehingga 2027 dijangka terus menyokong sentimen pembelian, khususnya dalam kalangan pembeli rumah pertama.

“Dengan SJKP, LPPSA dan pelbagai pengecualian cukai serta duti setem yang diteruskan, kerajaan jelas mahu meningkatkan pemilikan rumah dan 2026 berpotensi menjadi tahun pemulihan permintaan yang lebih ketara,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan