
Pengerusi Federation of Malaysian Business Association (FMBA)/ Foto FB FMBA
PUTRAJAYA, 29 Januari – Persatuan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menyatakan penghargaan terhadap pendekatan proaktif Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Steven Sim Chee Keong, khususnya dalam usaha memperkukuh dialog bersama industri serta membawa isu dan cabaran PMKS ke peringkat tertinggi negara.
- PMKS menghargai pendekatan proaktif Menteri KUSKOP dalam memperkukuh dialog bersama industri.
- Sesi libat urus menyediakan platform terbuka dan inklusif untuk menyuarakan cabaran PMKS.
- Kepimpinan Steven Sim menunjukkan komitmen pintu terbuka dan kerjasama strategik Kerajaan MADANI dengan swasta.
- Industri menyokong inisiatif sokongan RM80 bilion yang diharap atasi akses pembiayaan dan birokrasi.
Penghargaan itu dizahirkan susulan sesi libat urus bersama pemain industri yang berlangsung pada 7 Januari 2026, iaitu sesi pertama melibatkan pihak industri sejak Steven Sim dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Sesi berkenaan telah diketuai oleh Yayasan Kebajikan Insan (YAKIN) dengan penglibatan pimpinan beberapa persatuan PMKS dan industri utama, antaranya Federation of Malaysian Business Association (FMBA), Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Interior Industry Partner (MIIP), SME Association of Malaysia, Business Networking Club (BNC) serta Malaysian Booksellers Association.
Menurut pihak industri, inisiatif Steven Sim menyediakan platform dialog terbuka dan inklusif membuktikan kesungguhan beliau dalam memahami realiti semasa serta denyut nadi PMKS.
Usaha tersebut turut diperkukuh melalui pertemuan beliau bersama YAB Perdana Menteri pada 2 Januari 2026, selain sesi menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 7 Januari 2026, bagi menyampaikan isu serta cabaran yang dihadapi sektor PMKS.
Pendekatan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memastikan suara pemain industri diberi perhatian sewajarnya di peringkat pembuat dasar tertinggi negara.
Selain itu, sesi libat urus tersebut turut mencerminkan komitmen KUSKOP di bawah kepimpinan Steven Sim dalam mengamalkan dasar pintu terbuka serta mengutamakan kerjasama strategik antara Kerajaan MADANI dan sektor swasta.
Kerjasama ini disifatkan penting bagi memastikan pelaksanaan strategi ABCD dapat direalisasikan secara berkesan dan memberi impak langsung kepada pemain industri.
Pihak industri turut menyambut baik pengumuman inisiatif sokongan PMKS bernilai RM80 bilion oleh YAB Perdana Menteri, yang dianggap sebagai manifestasi jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa dan memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan.
Inisiatif tersebut diharapkan dapat membantu menangani isu akses pembiayaan, mengurangkan kekangan birokrasi serta mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih kondusif dan berdaya tahan.
Secara keseluruhan, pihak industri menyatakan kepuasan terhadap hasil sesi libat urus berkenaan dan menzahirkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan KUSKOP dalam usaha memperkukuh daya saing PMKS merentasi keseluruhan rantaian ekonomi negara.