PETRONAS kekal berdaya tahan depani pasaran global mencabar

PETRONAS kekal berdaya tahan depani pasaran global mencabar./GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR, 27 Februari – PETRONAS kekal berdaya tahan dan terus memperkukuh kedudukan strategiknya meskipun berdepan persekitaran pasaran global yang mencabar sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • PETRONAS memperkukuh portfolio melalui kerjasama strategik, penambahbaikan aset bernilai tinggi dan disiplin peruntukan modal.
  • Pendekatan berhemat dan pengawalan perbelanjaan modal memastikan projek dilaksanakan secara ekonomik dengan pulangan jelas.
  • Kedudukan kewangan kekal stabil dengan aliran tunai kukuh membolehkan pelaburan strategik dan pertumbuhan jangka panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kumpulan memberi tumpuan kepada pengukuhan portfolio melalui kerjasama strategik, penambahbaikan aset bernilai tinggi serta disiplin peruntukan modal bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan jangka panjang.

Menurutnya, pendekatan berhemat itu membolehkan syarikat ini mengekalkan asas kewangan yang stabil dalam keadaan volatiliti harga komoditi dan tekanan kos operasi.

“Apa yang kita lihat tahun lalu, ialah perbelanjaan modal sebanyak RM41 bilion yang dikawal dan diperketatkan kerana kita perlu memastikan projek dapat dilaksanakan secara ekonomik serta pulangan yang dijangka dapat direalisasikan dengan jelas.

“Inilah pendekatan yang saya tekankan hari ini, bahawa ke hadapan, kita perlu memastikan penciptaan nilai benar-benar dapat dizahirkan dan direalisasikan.”katanya di Sidang Media Pengumuman Keputusan Kewangan Separuh Kedua dan Tahun 2025 Kumpulan PETRONAS.

Tambahnya, perbelanjaan modal RM41.6 bilion memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran huluan, khususnya projek bernilai tinggi dan berdaya saing.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, syarikat ini merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM45.4 bilion, lebih rendah berbanding RM55.1 bilion pada tahun sebelumnya, dipengaruhi persekitaran pasaran global yang tidak menentu serta tekanan kos operasi yang berterusan.

Bagaimanapun, kedudukan kewangan kumpulan kekal stabil dengan aliran tunai yang kukuh, membolehkan PETRONAS meneruskan pelaburan strategik dan memperkukuh portfolio bagi menjana nilai jangka panjang.