
KUALA LUMPUR, 6 Mac– Syarikat minyak nasional, Petronas mengaktifkan protokol kesinambungan perniagaan bagi operasi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menjamin prestasi operasi dan kewangannya di seluruh rantau berkenaan.
- Pemindahan sementara kakitangan dari operasi di Abu Dhabi dan Dubai sebagai langkah berjaga-jaga.
- Semua operasi di UAE diteruskan secara bergilir, operasi luar UAE diteruskan seperti biasa sambil menilai impak dan berkomunikasi proaktif.
- QatarEnergy mengisytiharkan force majeure ke atas bekalan LNG, sementara PLL menandatangani SPA LNG 20 tahun dengan QatarEnergy.
Firma itu memaklumkan, sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, kumpulan itu telah memulakan pemindahan sementara kakitangan daripada operasinya di Abu Dhabi dan Dubai sebagai langkah berjaga-jaga.
“Semua operasi di UAE akan diteruskan secara bergilir, manakala operasi di luar UAE di seluruh rantau berkenaan akan diteruskan seperti biasa.”
”Petronas akan terus menilai sebarang potensi impak terhadap operasi dan kewangannya selain berkomunikasi secara proaktif selaras dengan obligasi pendedahan kumpulan,” menurut Petronas.
Mengulas lanjut, Petronas komited untuk memenuhi kewajipannya sebagai pengendali bertanggungjawab dan akan terus mengambil semua langkah yang perlu bagi melindungi pekerja, aset serta operasinya di seluruh rantau itu.
Pada Rabu, QatarEnergy mengisytiharkan “force majeure” ke atas bekalan gas asli cecair (LNG) berikutan penggantungan pengeluaran di beberapa kemudahan eksport utama.
“Force majeure” ialah peruntukan dalam kontrak yang membolehkan kedua-dua pihak dikecualikan daripada kewajipan sekiranya berlaku kejadian luar biasa yang menghalang pelaksanaan kontrak.
Pada Februari lalu, anak syarikat Petronas, Petronas LNG Ltd (PLL), menandatangani perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun dengan QatarEnergy, perjanjian pembekalan LNG jangka panjang pertama antara kedua-dua syarikat.