- Pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur membuka limpahan peluang pekerjaan merentasi sektor perkhidmatan, pelancongan, peruncitan dan perhotelan.
- Industri perkhidmatan, terutamanya sektor kewangan, menjadi nadi pertumbuhan dengan banyak ibu pejabat bank di KL.
- Kehadiran lebih 900 syarikat tersenarai mencipta banyak peluang pekerjaan baharu dan menarik migrasi tenaga kerja.
- Kemudahan pengangkutan, logistik dan pelbagai peluang perniagaan memudahkan penduduk dan usahawan menyesuaikan diri.

KUALA LUMPUR, 2 Februari – Pertumbuhan ekonomi di bandar raya Kuala Lumpur berpotensi membuka limpahan peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor, sekali gus menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara secara menyeluruh.
Menurut Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, pertumbuhan pesat ini memberi peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, pelancongan, peruncitan dan perhotelan.
“Industri perkhidmatan menjadi nadi pertumbuhan, terutamanya sektor kewangan, dengan semua bank utama di negara ini menempatkan ibu pejabat mereka di Kuala Lumpur. Selain itu, sektor pelancongan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dengan pelbagai tarikan termasuk hotel, pusat peruncitan dan peluang keusahawanan.” katanya baru-baru ini.
Dengan penempatan lebih 900 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia termasuk firma-firma utama, Kuala Lumpur menjadi tumpuan kerana mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu.
Menurutnya, limpahan peluang pekerjaan di bandar raya ini turut mendorong ramai warga dari negeri lain untuk berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur bagi menikmati pelbagai kemudahan.
Ini termasuk kemudahan pengangkutan, logistik serta jaringan sosial yang baik, yang memudahkan penduduk menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi yang dinamik.
“Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pilihan hotel daripada lima bintang sehingga satu bintang. Begitu juga dengan sektor pengangkutan, logistik dan pelbagai industri lain, yang memberi peluang kepada orang ramai untuk bekerja di bandar raya ini.”
“Bagi mereka yang berniaga pula, peluangnya luas, bukan sahaja dalam bidang makanan, tetapi juga sebagai vendor, pembekal, malah syarikat-syarikat kecil yang menyediakan perkhidmatan seperti keselamatan dan pembersihan,” katanya lagi.