Pertimbang pembangunan bioplastik berasaskan kelapa sawit hadapi gangguan rantaian bekalan global

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 April – Malaysia wajar mempertimbang pembangunan bioplastik berasaskan kelapa sawit bagi mendepani isu kekurangan bahan pembungkusan di negara ini akibat gangguan rantaian bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Manfaatkan sumber kelapa sawit untuk pembangunan bioplastik sebagai kelebihan semula jadi negara.
  • Pembangunan memerlukan rangsangan, penelitian menyeluruh serta masa dan pelaburan besar untuk pengeluaran kos rendah berskala nasional.
  • Sokongan kerajaan penting melalui geran penyelidikan, insentif, dan dasar memudahkan kemasukan bahan mentah kritikal serta pengurangan tarif import.
  • Langkah jangka pendek disyorkan: penubuhan stok simpanan nasional, tabung kecemasan industri, dan percepatan VOP untuk sektor pembinaan.

Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG), Datuk Dr. Azman Yusoff berkata, kelebihan Malaysia yang kaya dengan sumber kelapa sawit wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan itu.

Bagaimanapun, pembangunan bioplastik berasaskan kelapa sawit di negara ini masih memerlukan rangsangan dan penelitian menyeluruh daripada pelbagai sudut.

“Malaysia kaya dengan sumber seperti kelapa sawit yang boleh digunakan untuk menghasilkan bioplastik. Namun, secara realitinya, kita masih belum berada pada tahap kesiapsiagaan yang mencukupi.

Kita memerlukan masa dan pelaburan besar untuk memastikan bahan alternatif ini mampu dihasilkan pada kos yang rendah serta mencukupi untuk kegunaan seluruh negara,” katanya kepada RTM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sokongan kerajaan amat penting termasuk melalui penyediaan geran penyelidikan dan insentif kepada pihak berkaitan.

Pada masa sama, langkah jangka pendek perlu segera dilaksana bagi memastikan kelangsungan operasi industri.

“Antaranya memudahkan kemasukan bahan mentah kritikal, mengurangkan tarif import, serta mempertimbang penubuhan stok simpanan nasional dan penggunaan tabung kecemasan industri bagi menangani gangguan bekalan secara lebih efektif,” jelasnya.

Bagi sektor pembinaan pula, pelaksanaan mekanisme Syarat Perubahan Harga (VOP) perlu dipercepatkan bagi membantu kontraktor menyesuaikan kos projek dengan kenaikan harga bahan binaan.

Langkah ini penting untuk memastikan projek pembangunan tidak tergendala dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.