Peroleh tempahan RM357 juta, Aeronas sedia perluas pasaran

Aeronas turut merancang membangunkan sebuah kilang pembuatan pesawat berskala penuh

SERDANG, 26 Jun – Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam industri aeroangkasa apabila pengeluar pesawat ringan tempatan, Aeronas Aerocraft Sdn Bhd memperoleh tempahan eksport pertama sebanyak 50 pesawat ringan bernilai AS$85 juta (RM357 juta) daripada syarikat berpangkalan di Hong Kong, Consortium Wholechoice.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghantaran pertama 15 pesawat dijadual suku pertama dan kedua 2027 untuk sokong sekolah latihan penerbangan dan program pajakan di Asia.
  • Aeronas menyasarkan menjadi antara pengeluar pesawat utama di Malaysia dan Asia serta kuatkan pendidikan, R&D dan pembangunan modal insan.
  • Consortium Wholechoice dilantik sebagai pengedar serantau pertama, membuka peluang peluasan pasaran ke negara-negara lain Asia Pasifik.
  • Rancangan bina kilang pembuatan berskala penuh menghasilkan sehingga 180 pesawat setahun, dengan beberapa negeri tawar tapak dan 450 peluang pekerjaan.

Pengarah Urusan dan pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Shazreen Petra Raja Azman Shah Petra memaklumkan, syarikat menerima tempahan yang disahkan bagi 30 pesawat enam tempat duduk, manakala tambahan 20 unit lagi dijangka dimuktamadkan menjelang September ini.

“Penghantaran pertama melibatkan 15 pesawat dijadual pada suku pertama dan kedua 2027 bagi menyokong operasi sekolah latihan penerbangan serta program pajakan pesawat Consortium Wholechoice di rantau Asia.

“Aeronas menyasarkan untuk menjadi antara pengeluar pesawat utama di Malaysia dan Asia, di samping membangunkan ekosistem aeroangkasa negara melalui pengukuhan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembangunan modal insan,”katanya dalam sidang media dan majlis pertukaran dokumen Aeronas.

Di bawah perjanjian itu, Consortium Wholechoice turut dilantik sebagai pengedar serantau pertama bagi pesawat keluaran Aeronas, sekali gus membuka peluang kepada syarikat memperluaskan pasaran ke negara-negara lain di rantau Asia Pasifik.

Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Aeronas, Suhaimi Halim berkata, syarikat sedang mengadakan rundingan dengan beberapa pihak dari Singapura, Hong Kong serta China bagi memperoleh lebih banyak tempahan, khususnya daripada peniaga pesawat dan bank pelaburan.

“Aeronas turut merancang membangunkan sebuah kilang pembuatan pesawat berskala penuh yang mampu menghasilkan sehingga 180 pesawat setahun.

“Beberapa negeri termasuk Sabah, Selangor, Kedah dan Pahang telah menawarkan tapak bagi pembangunan kemudahan berkenaan, yang dijangka memulakan operasi secara berperingkat tahun hadapan.

“Sebuah kilang mampu mewujudkan 450 peluang pekerjaan bersama rantaian bekalan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.