Permintaan kenderaan kekal kukuh, TIV 2025 dijangka cecah 820,000 unit

Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Januari -Jumlah keseluruhan industri (TIV) diunjur mencecah 820,000 unit bagi tahun 2025, mengatasi ramalan terdahulu lebih 816,000 unit, ,menurut Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua)

RINGKASAN BERITA AI
  • Unjuran TIV 2025 meningkat kepada 820,000 unit menunjukkan permintaan kenderaan kekal menggalakkan.
  • Perodua keluarkan 370,370 unit dan jualan 359,904 unit, mencatat kenaikan kecil berbanding 2024.
  • Bezza kekal nombor satu dengan 100,488 unit; Axia dan Myvi turut menyumbang jualan besar.
  • Perodua komited sokong vendor tempatan, kembangkan EV dan tawaran digital untuk manfaat industri dan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, jangkaan lebih tinggi itu memberi petunjuk bahawa permintaan untuk kenderaan kekal menggalakkan didorong oleh minat pembeli yang mementingkan nilai produk.

”Bagi tahun 2025, Perodua mengeluarkan 370,370 unit kenderaan, naik 0.6 peratus daripada 368,100 kenderaan pada tahun 2024. Manakala jualan pula meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 359,904 unit berbanding 358,102 unit yang didaftarkan pada 2024.

“Berdasarkan jangkaan kami, pegangan pasaran Perodua kini adalah sebanyak 43.9 peratus. Di samping itu, jumlah pengeluaran dan pendaftaran yang dicatatkan menunjukkan kami telah berjaya
mengatasi rekod yang dicapai pada tahun 2024,” katanya menerusi satu kenyataan.

Untuk prestasi mengikut model, Perodua Bezza mengekalkan kedudukan teratas dengan 100,488 unit dijual pada 2025, tahun kedua model kenderaan itu mencatat jualan melebihi 100,000 unit. Diikuti Perodua Axia dengan 84,291 unit dan Perodua Myvi sebanyak 72,724 unit.

Tambahnya, untuk model QV-E dan Traz yang baru dilancarkan, impaknya terhadap jumlah jualan hanya akan diketahui pada tahun ini.

“Dengan adanya sokongan kuat daripada rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif di negara ini akan mendapat manfaat yang besar menerusi pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan dan dalam masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua.

“Kami kekal komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara dengan memperluaskan lagi perniagaan, terutamanya dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain,” katanya lagi.

Jelasnya, Perodua akan terus memperkukuh kerjasama dan pada masa sama meneroka kerjasama baharu yang memberi limpahan manfaat kepada industri tempatan dan negara.