
KUALA LUMPUR, 22 Januari – AmBank Group mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2026 sekitar 4.5 peratus, sederhana berbanding 2025 namun kekal berdaya tahan dalam persekitaran global yang tidak menentu.
- Penggunaan swasta dijangka kukuh sekitar 4.9 peratus disokong perbelanjaan musim perayaan dan penerimaan pelancongan lebih baik.
- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelepasan cukai individu RM1,000 dijangka menyokong perbelanjaan domestik dan pelancongan.
- Pelaburan swasta positif dengan pertumbuhan dipacu perbelanjaan modal berkaitan AI dan sektor semikonduktor.
- Risiko luaran seperti perlindungan perdagangan, tarif dan perlambatan rakan dagang boleh menjejaskan prospek ekonomi.
Ketua Ahli Ekonomi AmBank, Firdaos Rosli berkata, unjuran itu dipacu permintaan domestik yang kekal kukuh, khususnya penggunaan swasta yang dijangka berkembang sekitar 4.9 peratus, disokong perbelanjaan musim perayaan serta penerimaan pelancongan lebih baik.
“Penggunaan swasta dijangka kekal baik sekitar 4.9 peratus, malah mungkin lebih tinggi sekiranya semua penerima membelanjakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada suku pertama tahun ini, dan kedua, jika perbelanjaan pelancongan mencatatkan prestasi lebih baik.
”Saya berpandangan sektor pelancongan domestik akan terus kukuh disokong pelepasan khas cukai individu sebanyak RM1,000. Maka kami, menjangkakan penggunaan swasta akan kekal stabil dengan risiko pertumbuhan yang meningkat,” katanya pada sesi taklimat prospek makroekonomi.
Pelaburan swasta turut diunjur kekal positif dengan berkembang sekitar 5.9 peratus, didorong kitaran perbelanjaan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI) termasuk aktiviti pelaburan baharu merentas sektor berkaitan semikonduktor serta mesin dan peralatan.
Bagaimanapun, kesemua prospek itu masih terdedah kepada risiko luaran seperti perlindungan perdagangan dan kesan tarif, selain penyederhanaan pertumbuhan rakan dagang utama.