Penggunaan AI tingkat produktiviti, kurangkan kos perniagaan

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 21 JanuariPenggunaan teknologi dan inovasi perniagaan dilihat sebagai antara pendekatan paling berkesan bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengurus tekanan kos operasi yang semakin meningkat.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Mohammad Sahar Mat Din berkata, pengusaha masih mempunyai ruang untuk mengurangkan beban tersebut melalui pengurusan yang lebih cekap serta pendigitalan operasi.

Menurut beliau, meskipun kos operasi meningkat, kecekapan pengurusan dan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan produktiviti pekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja tambahan.

” Contohnya penggunaan AI yang meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja, membolehkan seorang pekerja mampu melakukan pelbagai tugasan.

“Justeru 2026 adalah tahun penting untuk inovasi, dan syarikat yang tidak menyesuaikan diri dengan teknologi berisiko ketinggalan”, katanya ketika ditemubual dalam program Biz Malaysia, di sini.

Tambahnya, langkah kerajaan menggalakkan automasi dan penggunaan teknologi selari dengan keperluan semasa industri, khususnya dalam membantu PMKS meningkatkan daya saing tanpa menambah kos tenaga kerja.

Sementara itu, mengulas pelaksanaan e-Invois, Datuk Mohammad Sahar menyifatkan inisiatif kerajaan itu sebagai langkah positif ke arah sistem percukaian yang lebih cekap dan telus.

“Pengenalan e-Invois membawa kecekapan dan ketelusan dalam pengurusan cukai. Ia secara tidak langsung meningkatkan kredibiliti dan imej perniagaan. Pelaksanaan secara berfasa pula memberi ruang kepada PMKS untuk bersedia dan menyesuaikan diri dengan sistem digital,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau optimis usaha pembaharuan serta sokongan dasar kerajaan mampu membantu PMKS kekal berdaya tahan dan terus berkembang sepanjang tahun ini.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan