
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Pengeluaran getah asli Malaysia susut 29.6 peratus pada November 2025 kepada 20,891 tan metrik berbanding 29,673 tan metrik pada Oktober 2025.
- Pengeluaran disumbang terutamanya oleh pekebun kecil (83.3 peratus) berbanding estet (16.7 peratus).
- Berbanding tahun lalu, pengeluaran menunjukkan penyusutan ketara sebanyak 48.2 peratus.
- Jumlah stok getah asli susut 17.3 peratus kepada 120,208 tan metrik.
- Eksport menurun, dengan China sebagai destinasi utama menyumbang 50.8 peratus eksport.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan berkata, pengeluaran pada bulan tersebut disumbangkan terutamanya oleh pekebun kecil sebanyak 83.3 peratus berbanding estet 16.7 peratus.
Berbanding tempoh sama tahun lalu, pengeluaran getah asli turut menunjukkan trend penyusutan sebanyak 48.2 peratus daripada 40,341 tan metrik pada November 2024.
Sementara itu, jumlah stok getah asli pula menyusut 17.3 peratus kepada 120,208 tan metrik berbanding 145,422 tan metrik pada Oktober 2025.
”Eksport getah asli berjumlah 37,150 tan metrik pada November 2025, menurun 29.8 peratus berbanding Oktober 2025 sebanyak 52,932 tan metrik.
”China terus kekal sebagai destinasi utama eksport dengan menyumbang 50.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada November 2025,” menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama.
Destinasi eksport lain termasuklah Jerman (15.1 peratus), Emiriah Arab Bersatu (12.5 peratus), Amerika Syarikat (5.7 peratus) dan Turkiye (2.2 peratus).
Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah yang merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM900 juta, diikuti tayar, tiub dan benang getah.
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran November 2025, pasaran getah Kuala Lumpur dibuka bercampur-campur pada November, didorong harga minyak yang lebih rendah, ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap data ekonomi yang lebih lemah daripada AS dan China.
”Bagaimanapun, kerugian selanjutnya dihadkan oleh kebimbangan mengenai gangguan bekalan yang disebabkan oleh hujan lebat di negara pengeluar utama, jangkaan lebih kukuh terhadap pengurangan kadar AS serta hubungan perdagangan AS-China yang bertambah baik.
”Selain itu, itu turut disumbangkan perkembangan positif dalam sektor semikonduktor, jangkaan rangsangan tambahan daripada Beijing dan jualan EV global yang kukuh,” katanya.-BERNAMA