Pengekalan OPR bantu stabilkan pendapatan isi rumah

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Januari – Pengekalan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada paras semasa akan membantu menstabilkan pendapatan boleh guna isi rumah dengan mengelakkan peningkatan kos pinjaman dan tekanan terhadap perbelanjaan harian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengekalan OPR membantu menstabilkan pendapatan boleh guna isi rumah dengan mengekalkan kos pinjaman terkawal dan sokongan kepada perbelanjaan pengguna.
  • Langkah ini dijangka merangsang perbelanjaan domestik dan memberi limpahan positif kepada sektor peruncitan serta rantaian ekonomi berkaitan.
  • Sokongan inisiatif kerajaan seperti gaji minimum dan pelarasan gaji SSPA menyokong pertumbuhan ekonomi, walau bergantung pada keadaan ekonomi global.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md Razak berkata, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memastikan kos pinjaman diuruskan dengan lebih baik dan menyokong perbelanjaan pengguna.

”Saya pasti pengekalan OPR ini akan memberi limpahan yang positif kerana secara tidak langsung ia akan merangsang perbelanjaan domestik.

”Apabila berlakunya perbelanjaan domestik ia juga mempengaruhi rantaian ekonomi di sekitarnya sebagai contoh sektor peruncitan dan sebagainya.

“Akhirnya pengekalan ini sudah tentunya akan merangsang pertumbuhan ekonomi di Malaysia,” katanya kepada pemberita RTM di Angkasapuri Kota Media di sini.

Tambahnya, pengekalan OPR pada tahap 2.75 peratus berkemungkinan mendorong pertumbuhan pinjaman baharu, namun rakyat harus kekal berhemah dalam membuat sebarang keputusan kewangan ketika ekonomi masih terdedah kepada ketidaktentuan global.

Secara keseluruhan, beliau menjangkakan momentum pertumbuhan ekonomi negara tahun ini akan kekal positif, disokong pelbagai inisiatif untuk setiap segmen masyarakat terutama golongan rentan.

”Kita dapat lihat inisiatif kerajaan dan komitmen baik yang berikan dalam memastikan golongan rentan tidak ketinggalan, selain usaha meningkatkan perlindungan sosial golongan pekerja.

”Selain itu, pelaksanaan gaji minimum dan fasa kedua pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi domestik, namun prospek ekonomi kekal bergantung kepada keadaan ekonomi global,” katanya.