
KUALA LUMPUR , 4 April – Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus tahun ini sekiranya kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi mendepani ketidaktentuan global.
- Pengekalan harga RON95 pada paras rendah menyokong pertumbuhan KDNK dan menjadi pemangkin bagi menstabilkan kadar inflasi negara.
- Subsidi bahan api memberi tekanan ketara kepada kedudukan fiskal kerajaan dan menyukarkan usaha mengurangkan defisit serta hutang.
- Malaysia tidak harus bergantung sepenuhnya pada penggunaan domestik; perlu perkukuh akses pasaran antarabangsa dan hubungan perdagangan utama.
Pakar Ekonomi Universiti Malaya (UM), Profesor Ulung Datuk Dr. Rajah Rasiah berkata, langkah mengekalkan harga bahan api itu pada paras rendah bukan sahaja menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah menjadi pemangkin utama dalam menstabilkan kadar inflasi negara.
“Jika kerajaan mengekalkan harga RON95 sekitar RM1.99 sepanjang tahun walaupun harga minyak dunia meningkat, inflasi dapat dikawal dan Malaysia berupaya mencapai pertumbuhan ekonomi 4 hingga 5 peratus.”, katanya ketika ditemui di Forum Malaysia – Jepun pada Selasa.
Beliau menyifatkan unjuran itu sebagai realistik memandangkan Malaysia mempunyai rekod pemulihan ekonomi yang pantas selepas mendepani pelbagai krisis besar sebelum ini, termasuk krisis kewangan global dan pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pengekalan subsidi tersebut akan memberi tekanan ketara kepada kedudukan fiskal kerajaan, terutama dalam usaha mengurangkan defisit dan mencapai sasaran pengurangan hutang menjelang 2027.
Mengulas mengenai pemacu ekonomi jangka panjang, beliau menegaskan Malaysia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada penggunaan domestik, sebaliknya perlu terus memperkukuh akses ke pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, sebagai sebuah negara pengeksport yang mempunyai lebihan dagangan yang kukuh, Malaysia perlu memastikan hubungan perdagangan dengan rakan kongsi utama seperti China terus diperkasakan bagi menjamin kelestarian ekonomi masa hadapan.