
KUALA LUMPUR, 11 Januari – Penambahan peruntukan RM2 bilion bagi mempercepatkan pembayaran balik cukai mencerminkan usaha mempertingkat kecekapan pengurusan fiskal, sekali gus membantu melancarkan pemulangan hak pembayar cukai.
- Peruntukan RM2 bilion diperuntukkan untuk mempercepatkan pembayaran balik cukai kepada pembayar cukai tepat pada masanya.
- Inisiatif mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh pengurusan fiskal, aliran tunai berdisiplin dan keutamaan kebajikan rakyat.
- Langkah ini meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan keyakinan rakyat terhadap integriti pengurusan fiskal.
Pensyarah Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Juliana Mohamed Abdul Kadir menjelaskan bahawa inisiatif tersebut mencerminkan usaha kerajaan mengurus aliran tunai secara lebih berdisiplin bagi memastikan hak pembayar cukai dikembalikan tanpa kelewatan.
“Menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pengurusan fiskal negara dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan dengan menyalurkan sumber kepada keperluan sebenar rakyat dan sektor produktif negara.
“Ini menandakan kerajaan bukan sahaja memberi keutamaan kepada peningkatan hasil tetapi memastikan pengurusan aliran tunai lebih tersusun agar hak pembayar cukai dapat dipulangkan tepat pada masanya” katanya dalam satu temubual dalam talian bersama RTM, hari ini.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi UiTM, Dr Mohd Khairi Ismail menjelaskan bahawa penambahan peruntukan RM2 bilion itu bertujuan mempercepatkan penyelesaian tunggakan pembayaran balik cukai, menekankan kecekapan pelaksanaan dan pemulangan hak pembayar cukai tepat pada masanya tanpa melibatkan bayaran baharu.
“Dari sudut ekonomi, sebenarnya ia merupakan sebuah langkah yang membaiki aliran tunai isi rumah dan perniagaan di mana komponen penting ia adalah komponen penting memandangkan pembelanjian isi rumah menyumbang lebih 60% KDNK Malaysia dan secara keseluruhannya ia mencerminkan tadbir urus fiskal yang lebih cekap, berdisiplin dan berpaksikan kepada rakyat”
Langkah yang diumumkan dalam Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru baru ini turut dilihat sebagai penanda aras baharu kecekapan tadbir urus kewangan kerajaan serta berupaya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kebertanggungjawaban pengurusan fiskal negara.