Pelanggan terjejas disaran tampil segera, mohon bantuan bersesuaian – ADFIM

Pelanggan terjejas disaran tampil segera, mohon bantuan bersesuaian – ADFIM

KUALA LUMPUR, 11 APRIL – Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) menegaskan komitmen berterusan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) dan Organisasi Pembangunan Usahawan (EDO) dalam menyokong individu serta perniagaan menghadapi ketidaktentuan global semasa, termasuk perkembangan terkini di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelanggan berdepan tekanan kewangan disaran berhubung awal dengan institusi untuk meneliti pilihan sokongan yang bersesuaian.
  • Sokongan termasuk penjadualan semula bayaran, penstrukturan pembiayaan dan khidmat nasihat bersasar mengurangkan tekanan jangka pendek.
  • DFI, EDO dan pihak berkepentingan bekerjasama demi bantuan sewajarnya; institusi kekal kukuh dari segi permodalan dan pengurusan risiko.

ADFIM dalam satu kenyataan turut menggalakkan pelanggan yang berdepan kesukaran kewangan untuk berhubung lebih awal dengan institusi masing-masing bagi meneliti pilihan sokongan yang bersesuaian.

Pelanggan yang mengalami tekanan kewangan disaran proaktif berbincang lebih awal dengan DFI dan EDO.

Langkah ini bagi memastikan akses pembiayaan tetap tersedia dan memberikan sokongan adil kepada perniagaan, komuniti serta isi rumah yang terkesan.

Sokongan yang ditawarkan termasuk penjadualan semula bayaran, penstrukturan semula pembiayaan serta khidmat nasihat bersasar bagi mengurangkan tekanan jangka pendek tanpa menjejaskan daya maju perniagaan dalam jangka panjang.

”Ekosistem DFI dan EDO akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan, pengawal selia serta pihak berkepentingan bagi memastikan perniagaan yang berdaya maju dan komuniti terjejas terus menerima bantuan sewajarnya.

“Usaha kolektif ini bertujuan menyokong matlamat negara dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Jelas ADFIM, ia juga selaras dengan komitmen institusi berkenaan dalam menyediakan sokongan, kerjasama dan penyelesaian praktikal ketika tempoh mencabar.

Pada masa sama, ADFIM memberi jaminan bahawa institusi ahlinya kekal kukuh dari segi permodalan dan beroperasi dalam rangka kerja pengurusan risiko yang berhemat.

Ini sekali gus membolehkan sokongan berterusan diberikan tanpa menjejaskan kestabilan kewangan keseluruhan.