
KUALA LUMPUR, 30 Januari – Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijadual akan dilancarkan pada Mac 2026.
- Pelan Induk dan Pelan Tindakan memuktamadkan visi, sektor keutamaan, zon utama serta hala tuju pelaksanaan JS-SEZ.
- Fokus pada tadbir urus, insentif, infrastruktur dan pembangunan tenaga kerja untuk menyokong pelaksanaan zon.
- Kerjasama Malaysia–Singapura dan pengukuhan JSCMC akan diperkukuh untuk pemantauan dan impak ekonomi bersama.
Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia kini sedang memuktamadkan kedua-dua pelan itu yang bakal menggariskan visi jangka panjang, sektor keutamaan, zon utama serta pelan hala tuju pelaksanaan.
Ini termasuk dalam aspek tadbir urus, insentif, infrastruktur dan pembangunan tenaga kerja.
Pelancaran pelan induk JS-SEZ itu dibincangkan pada sesi kunjungan hormat antara Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat dengan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang berlangsung semalam.
”Pada sesi sama, Malaysia dan Singapura turut menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan kemajuan pelaksanaan JS-SEZ.
”Kedua-dua pihak sepakat bahawa kerjasama Johor-Singapura merupakan perkongsian jangka panjang yang dibina atas asas kepercayaan, kesinambungan dasar dan manfaat bersama,” menurut kenyataan itu.
JS-SEZ kini beralih dari fasa perancangan kepada pelaksanaan dengan menggabungkan skala ekonomi dan sumber Johor dengan modal, teknologi serta jaringan global Singapura.
Gabungan faktor-faktor itu akan menarik pelaburan bernilai tinggi, mengukuhkan rantaian bekalan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk kedua-dua negara.
Kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) bagi meningkatkan keberkesanan penyeliaan dan tumpuan terhadap kerjasama ekonomi, khususnya berkaitan agenda JS-SEZ.
Struktur tadbir urusnya akan dibentangkan pada mesyuarat JSCMC seterusnya di Singapura.
”Para menteri menyatakan keyakinan bahawa dengan pelaksanaan yang berdisiplin serta kerjasama berterusan, JS-SEZ dan JSCMC akan menghasilkan impak yang ketara kepada perniagaan, pekerja dan komuniti di kedua-dua negara,” katanya.