
KUALA LUMPUR, 6 Mac –Tahap pelaburan negara yang tinggi mampu memperkukuh aktiviti perusahaan mikro,kecil dan sederhana (PMKS) serta merancakkan ekosistem perniagaan domestik.
- Peningkatan keyakinan pelabur mencerminkan kestabilan ekonomi, ekosistem pelaburan dan tahap sosioekonomi negara.
- Keyakinan datang daripada pelabur tempatan dan antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil dan berdaya saing.
- Pelaburan domestik yang meningkat menyokong PMKS, dasar Buy Malaysian Product dan perkembangan produk Malaysia di pasaran antarabangsa.
Menurut Pakar Ekonomi,Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Saidatulakmal Mohd, data yang dibentangkan menunjukkan Malaysia berjaya mencapai tahap pelaburan tinggi, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
Jelasnya, keyakinan itu bukan sahaja datang daripada pelabur tempatan malah turut melibatkan pelabur antarabangsa yang melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berdaya saing.
”Dan ini menunjukkan keyakinan pelabur yang tinggi terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, tahap ekosistem pelaburan dan perniagaan, dan juga tahap sosioekonomi negara.
“Ini juga menunjukkan bahawa pelaburan di dalam negara kita dapat dipertingkat dan menyokong aktiviti-aktiviti yang lain, terutamanya PMKS.
“Dengan peningkatan di dalam pelaburan domestik, ini juga menunjukkan keyakinan pelabur tempatan terhadap apa yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk menyokong aktiviti perniagaan di dalam negara.
“Ini secara tidak langsung akan menyokong dasar dan juga aspirasi negara untuk Buy Malaysian Product dan memastikan bahawa produk Malaysia terus berkembang bukan sahaja di dalam pasaran domestik, tetapi juga di arena antarabangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita RTM.
Terdahulu, Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia mencatat rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara apabila jumlah keseluruhan mencecah RM426.7 bilion sepanjang tahun 2025.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.