
KUALA LUMPUR, 16 Mac- Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat pelaburan susulan ketegangan di Asia Barat yang mendorong pelabur antarabangsa beralih kepada destinasi lebih stabil.
- Potensi pelaburan berskala besar dalam pembangunan infrastruktur dan sektor pelancongan.
- Penduduk Asia Barat mungkin menetap lebih lama, tingkatkan permintaan pelancongan dan peluang pelaburan jangka panjang.
- ASEAN dilihat mempunyai kestabilan relatif, menyokong integrasi ekonomi serantau dan keyakinan pelabur global.
- MIDA sahkan minat pelabur kekal kukuh; sektor seperti pusat data terus menarik pelabur asing tanpa petunjuk penangguhan.
Pengarah Institut Penyelidikan Isu Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Phar Kim Beng berkata ini terutamanya melibatkan potensi pelaburan berskala besar dalam pembangunan infrastruktur dan sektor pelancongan.
“Pelabur boleh menumpukan pelaburan berskala besar dalam infrastruktur di Malaysia atau ASEAN, serta sektor pelancongan, memandangkan penduduk Asia Barat mungkin menetap di rantau ini lebih lama akibat konflik di negara mereka,” katanya kepada pemberita RTM.
Beliau berkata ASEAN dilihat mempunyai kestabilan relatif berbanding kawasan konflik lain, sekali gus menyokong usaha integrasi ekonomi serantau dan memperkukuh keyakinan pelabur global.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menegaskan minat pelabur terhadap Malaysia kekal kukuh dengan beberapa sektor seperti pembangunan pusat data terus menarik perhatian pelabur asing.
MIDA juga tidak menerima sebarang petunjuk bahawa pelabur asing berhasrat menangguhkan atau memperlahankan pelaburan mereka susulan konflik di Asia Barat.