Pelabur asing kembali sebagai penjual bersih, catat RM725.6 juta aliran keluar minggu lalu – MBSB

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pelabur asing kembali menjual ekuiti di Bursa Malaysia bagi minggu berakhir 13 Mac 2026, selepas mencatat pembelian bersih minggu sebelumnya, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM725.6 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran masuk asing tertumpu pada perladangan (RM118.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta) serta REIT (RM46.0 juta).
  • Aliran keluar asing tertumpu pada perkhidmatan kewangan (RM488.0 juta), telekomunikasi dan media (RM147.2 juta) serta hartanah (RM121.4 juta).
  • Institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih RM621.1 juta, menamatkan lima minggu jualan bersih.
  • Di peringkat serantau, asing melanjutkan jualan bersih empat minggu merentasi lapan pasaran Asia; Vietnam satu-satunya menerima aliran masuk AS$46.4 juta.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, pelabur asing merupakan penjual bersih sepanjang lima hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Jumaat berjumlah RM315.8 juta.

”Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih pelabur asing ialah perladangan (RM118.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM95.8 juta) serta amanah pelaburan hartanah (REIT) (RM46.0 juta).

”Aliran keluar pula tertumpu dalam sektor perkhidmatan kewangan (RM488.0 juta), telekomunikasi dan media (RM147.2 juta) serta hartanah (RM121.4 juta),” jelas MBSB dalam Laporan Aliran Dana terkininya.

Sementara itu, institusi tempatan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM621.1 juta, sekali gus menamatkan aliran jualan bersih selama lima minggu.

Trend sama turut dicatatkan oleh berkata pelabur runcit tempatan yang merekodkan aliran masuk bersih RM104.5 juta selepas kembali menjadi pembeli bersih berbanding minggu sebelumnya.

Di peringkat serantau, pelabur asing melanjutkan aliran jualan bersih selama empat minggu berturut-turut merentasi lapan pasaran Asia, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak AS$16.8 bilion.

Menurut MBSB, Vietnam merupakan satu-satunya negara yang menerima aliran masuk bersih pelabur asing, manakala jualan bersih didahului oleh Taiwan.

”Vietnam menamatkan aliran jualan bersih selama dua minggu dengan mencatat aliran masuk bersih pelabur asing sebanyak US$46.4 juta, apabila pihak berkuasa bertindak pantas melindungi ekonomi negara itu daripada ketidaktentuan harga minyak global melalui gabungan langkah fiskal, kawal selia dan bekalan bagi menstabilkan harga bahan api domestik,” menurut MBSB.