Pelabur asing kekal pembeli bersih minggu ketiga berturut-turut

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Januari -Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut minggu lalu, dengan merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM510.9 juta, menurut MBSB Investment Bank Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran masuk asing menyokong kecairan pasaran walaupun penyertaan domestik bercampur.
  • Sektor kewangan, perindustrian dan pengguna catat aliran masuk asing bersih utama.
  • Institusi tempatan jadi pembeli bersih; runcit tempatan terus penjual bersih untuk minggu kelapan.

Bank pelaburan itu memaklumkan, aliran masuk asing bersih menunjukkan penyederhanaan berbanding RM716.1 juta yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

MBSB menerusi Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Januari 2026 memaklumkan, aliran masuk tersebut terus menyokong kecairan keseluruhan pasaran, dengan pelabur asing kekal menyumbang secara positif di sebalik penyertaan bercampur oleh pelabur domestik.

Pelabur asing kebanyakannya merupakan pembeli bersih sepanjang minggu berkenaan, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Rabu sebanyak RM215.4 juta, manakala jualan bersih dicatatkan pada Selasa berjumlah RM17.5 juta.

”Tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM407.5 juta, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (RM148.6 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM87.8 juta).

”Manakala, tiga sektor yang merekodkan aliran keluar asing bersih pula ialah penjagaan kesihatan (-RM141.8 juta), pembinaan (-RM40.9 juta) dan utiliti (-RM19.5 juta),” katanya.

Sementara itu, MBSB memaklumkan institusi tempatan kembali menjadi pembeli bersih dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM853.0 juta.

Pelabur runcit tempatan pula kekal sebagai penjual bersih untuk minggu kelapan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih RM1.36 juta minggu lalu.

”Di peringkat serantau, pelabur asing di lapan pasaran Asia mencatatkan jualan asing bersih yang semakin meningkat untuk minggu kedua berturut-turut, berjumlah AS$2.76 bilion minggu lalu, berbanding AS$954.6 juta pada minggu berakhir 16 Januari 2026.

”Penyusutan itu didorong terutamanya oleh peningkatan ketara aktiviti jualan di pasaran India, yang mengatasi pembelian berterusan di kebanyakan pasaran ASEAN,” jelas MBSB.