Pasaran ekuiti Malaysia kukuh pada Januari, ADTV cecah RM3.4 bilion

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 FebruariPasaran ekuiti Malaysia mencatat prestasi kukuh pada Januari 2026 apabila purata nilai dagangan harian (ADTV) mencecah RM3.4 bilion, tertinggi sejak 2024, sekali gus mengatasi semua paras bulanan yang direkodkan sepanjang tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran masuk asing bersih sebanyak RM1.0 bilion mencatat penyertaan asing susut kepada 37.2 peratus.
  • Penyertaan institusi domestik meningkat kepada 45.0 peratus, manakala runcit kekal pada 17.8 peratus.
  • FBM KLCI naik 3.6 peratus bulan ke bulan dengan tiga sektor mengatasi indeks.
  • Sektor hartanah, kewangan dan REIT mencatat prestasi terbaik; penjagaan kesihatan sederhana.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam satu nota penyelidikan pasaran memaklumkan, bulan tersebut merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM1.0 bilion walaupun penyertaan pelabur asing menyusut kepada 37.2 peratus berbanding bulan sebelumnya.

“ADTV ekuiti, termasuk transaksi urus niaga langsung (DBT), melonjak kepada RM3.4 bilion berbanding RM2.6 bilion pada Disember 2025, paras tertinggi sejak September 2024, dengan penyertaan asing (tidak termasuk DBT) lebih rendah pada 37.2 peratus. Malah, ADTV turut melonjak kepada RM4.5 bilion pada 27 Januari 2026.” kata Maybank IB dalam nota penyelidikkan sama.

Foto RTM

Jelas Maybank IB, penyertaan institusi domestik dalam pasaran turut meningkat kepada 45.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, manakala penyertaan pelabur runcit kekal tidak berubah pada 17.8 peratus.

Sementara itu, penanda indeks utama Bursa Malaysia, FBM KLCI pula mencatat kenaikan sebanyak 3.6 peratus bulan ke bulan pada Januari, dengan tiga sektor mengatasi prestasi KLCI.

Sektor hartanah muncul sebagai sektor terbaik bagi bulan tersebut, diikuti sektor kewangan dan sektor amanah pelaburan hartanah (REIT), manakala sektor penjagaan kesihatan menunjukkan prestasi yang lebih sederhana.

Secara keseluruhan, pegangan saham asing meningkat sedikit kepada 19.2 peratus daripada jumlah permodalan pasaran berbanding 19.0 peratus pada bulan sebelumnya.