OPEC+ bakal tingkat pengeluaran mulai April

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 2 Mac– Lapan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya OPEC+ merancang untuk meningkatkan pengeluaran mulai April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPEC+ merancang meningkatkan pengeluaran mulai April berdasarkan keputusan mesyuarat virtual lapan negara anggota.
  • Pelarasan sebanyak 206,000 tong sehari akan dilaksanakan daripada 1.65 juta tong pengurangan sukarela tambahan.
  • Peningkatan didorong oleh prospek ekonomi global stabil dan tahap inventori minyak yang rendah.
  • Pengeluaran boleh dikembalikan atau ditangguh bergantung kepada perubahan keadaan pasaran; pemantauan berterusan ditekankan.

Menerusi kenyataan di laman sesawang OPEC, kumpulan itu bersetuju untuk melaksanakan pelarasan pengeluaran sebanyak 206,000 tong sehari daripada 1.65 juta tong pelarasan sukarela tambahan yang diumumkan pada April 2023.

”Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat maya yang diadakan semalam, melibatkan Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman bagi menilai keadaan pasaran global dan tinjauan ekonomi.”

”Peningkatan tersebut berdasarkan prospek ekonomi global yang stabil dan asas pasaran semasa yang kukuh, seperti dicerminkan oleh paras inventori minyak yang rendah,” menurut OPEC.

OPEC memaklumkan jumlah pengeluaran tersebut boleh dikembalikan sebahagian atau sepenuhnya tertakluk kepada perubahan keadaan pasaran.

”Negara terlibat akan terus memantau dan menilai keadaan pasaran dengan teliti, di samping menegaskan semula kepentingan pendekatan berhati-hati serta mengekalkan fleksibiliti penuh untuk menangguhkan atau membatalkan semula pelarasan tambahan pengeluaran sukarela,” tambahnya.

Mesyuarat bulanan seterusnya dijadual akan diadakan pada 5 April 2026.