
KUALA LUMPUR, 24 Januari- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan di tengah-tengah aktiviti pengambilan untung selepas ketegangan geopolitik mereda.
- Harga niaga hadapan emas dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan susulan pengambilan untung berikutan meredanya ketegangan geopolitik.
- Beberapa kontrak 2026 menunjukkan kenaikan minggu ke minggu, tetapi pasaran dijangka mencari paras sokongan sekitar AS$4,900 setiap auns troy.
- Jumlah dagangan dan kepentingan terbuka meningkat, mencerminkan aktiviti pasaran yang lebih tinggi minggu lalu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketegangan geopolitik mereda selepas Sidang Kemuncak Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.
“Mungkin harga emas semerta akan menemui paras sokongan sekitar AS$4,900 setiap auns troy minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan minggu ke minggu, kontrak Januari 2026 meningkat kepada AS$4,914.80 setiap auns troy daripada AS$4,609.20 minggu sebelumnya.
Februari 2026 naik kepada AS$4,928.00 daripada AS$4,625.60 manakala Mac 2026 melonjak kepada AS$4,945.90 daripada AS$4,642.60.
Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga ditutup lebih tinggi pada AS$4,963.70 setiap auns troy daripada AS$4,661.70 sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 1,331 lot daripada 1,056 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 567 kontrak daripada 192 kontrak.
Emas fizikal ditetapkan pada AS$4,825.55 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 22 Januari 2026. -BERNAMA