Momentum pelaburan 2025 pacu Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mac Momentum peningkatan pelaburan Malaysia pada tahun 2025 dilihat berpotensi menggerakkan negara ke arah pembentukan ekonomi berpendapatan tinggi serta berteraskan teknologi pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar dan pelan pembangunan ekonomi yang jelas dan terancang mendorong peningkatan prestasi pelaburan.
  • Peralihan rantaian bekalan global menarik pelabur ke Malaysia kerana infrastruktur baik, tenaga kerja mahir dan ekosistem industri matang.
  • Tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti perkhidmatan digital dan teknologi mengukuhkan keyakinan pelabur serta daya saing negara.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, perkembangan positif tersebut membuktikan bahawa negara berada pada landasan yang tepat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta meningkatkan daya saing di peringkat global.

Beliau turut berpandangan, dasar serta pelan pembangunan ekonomi yang jelas dan terancang merupakan antara faktor utama yang mendorong peningkatan prestasi pelaburan tersebut.

“Peralihan global dalam rantaian bekalan yang mana banyak syarikat antarabangsa kini mencari lokasi pelaburan baru yang lebih stabil di Asia Tenggara. Malaysia mendapat manfaat daripada ini kerana mempunyai infrastruktur yang baik, tenaga kerja yang mahir dan juga ekosistem industri yang matang.

“Selain itu, tumpuan kepada sektor bernilai tinggi iaitu seperti sektor perkhidmatan teknologi digital ekonomi dan perbuatan teknologi berteknologi tinggi. Ini menjadikan Malaysia menjadi tarikan kepada para pelabur untuk mencari pusat operasi serantau yang lebih stabil berbanding di Asia Barat,” katanya ketika dihubungi Berita RTM.

Pendekatan dasar yang konsisten turut berjaya meningkatkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa.

Sekali gus, mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pelaburan yang kompetitif di rantau ini.