Median upah pekerja formal naik 4.3% kepada RM2,864 – DOSM

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

KUALA LUMPUR, 27 Januari – Median upah bulanan bagi 7.06 juta pekerja formal berjumlah RM2,864 pada September 2025, meningkat 4.3 peratus berbanding RM2,745 pada tempoh sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan upah selari dengan pertumbuhan guna tenaga stabil dan peningkatan bilangan pekerja formal sebanyak 3.5 peratus pada suku ketiga 2025.
  • Pekerja lelaki merekodkan median upah RM2,900 berbanding RM2,800 bagi pekerja perempuan, menunjukkan jurang jantina kecil.
  • Semua sektor mencatatkan kenaikan median upah; sektor Perlombongan dan pengkuarian tertinggi pada RM6,600.
  • Jurang upah kekal besar: 10 peratus pekerja tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM9,000, manakala 8.8 peratus pekerja warganegara bergaji bawah RM1,700.

Peningkatan upah itu seiring dengan pertumbuhan guna tenaga yang stabil, dengan bilangan pekerja formal meningkat 3.5 peratus pada suku ketiga 2025, sekali gus menunjukkan daya tahan berterusan pasaran buruh formal sepanjang suku ketiga 2025.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pekerja formal lelaki merekodkan median upah bulanan sebanyak RM2,900, lebih tinggi berbanding median upah bulanan pekerja formal perempuan sebanyak RM2,800.

Sementara itu, analisis upah mengikut aktiviti ekonomi menunjukkan bahawa semua sektor mencatatkan peningkatan median upah bulanan pada suku ketiga 2025.

”Sektor Perlombongan dan pengkuarian mengekalkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,600 dengan peningkatan sebanyak 11.9 peratus berbanding suku sama tahun lalu.

”Sementara itu, sektor Pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada pekerja formal warganegara merekodkan median upah bulanan terendah pada RM2,245,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, bilangan pekerja formal warganegara yang bergaji rendah semakin berkurangan, apabila hanya 8.8 peratus menerima gaji bawah RM1,700 pada September 2025.

Namun, jurang upah masih ketara apabila 10 peratus pekerja bergaji tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM9,000 sebulan, kira-kira lima kali ganda berbanding kumpulan berpendapatan terendah.