MATRADE perhebat usaha pelbagaikan destinasi eksport

Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempergiat strategi mempelbagaikan destinasi pasaran eksport sebagai langkah mengurangkan risiko susulan ketidaktentuan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • TOR baharu dihantar kepada pesuruhjaya di 48 pejabat luar negara bagi memperkukuh pemantauan perkembangan perdagangan antarabangsa.
  • Kenal pasti gangguan rantaian bekalan termasuk laluan maritim yang menjejaskan kelancaran serta proses eksport dan import barangan.
  • Fokus mencari pasaran baharu di luar zon konflik, contohnya Asia Tengah dan beberapa negara Afrika berpotensi untuk diterokai.
  • Mempelbagaikan pasaran membuka peluang isi kekosongan akibat kekangan eksport negara lain, mengekalkan momentum perdagangan Malaysia.

Pengerusinya, Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya telah mengeluarkan Terms of Reference (TOR) baharu kepada pesuruhjaya perdagangan di 48 pejabat MATRADE di luar negara bagi memperkukuh pemantauan terhadap perkembangan perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata langkah pertama yang diambil ialah mengenal pasti gangguan rantaian bekalan yang berlaku, termasuk laluan maritim perkapalan yang boleh menjejaskan kelancaran perdagangan serta proses eksport dan import barangan.

“Selain itu, kita turut mengenal pasti pasaran baharu yang sedang muncul serta destinasi eksport di luar zon konflik bagi memastikan perdagangan negara terus berkembang,” katanya kepada RTM pada majlis Iftar MATRADE di Menara MATRADE di sini.

Menurutnya, tumpuan kini diberikan kepada beberapa pasaran baharu yang kurang terjejas oleh konflik global seperti di Asia Tengah termasuk Kazakhstan, Uzbekistan dan Turkmenistan, selain beberapa negara di rantau Afrika yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai.

Pada masa sama, katanya strategi berkenaan turut membuka peluang kepada Malaysia untuk mengisi kekosongan pasaran yang terjejas akibat kekangan eksport negara lain, sekali gus mengekalkan momentum perdagangan negara.

Walaupun konflik di rantau Asia Barat memberi kesan terhadap laluan perkapalan, kos insurans serta harga minyak global, MATRADE yakin langkah mempelbagaikan pasaran eksport mampu mengurangkan impak terhadap prestasi eksport negara.