MATRADE lantik ES Exhibition urus MIHAS bagi tempoh lima tahun

Foto fail

KUALA LUMPUR, 17 Mac -Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melantik ES Exhibition Sdn Bhd sebagai syarikat pengurusan acara baharu bagi Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tempoh pengurusan lima tahun bermula 2026 hingga 2030 untuk memperkukuh MIHAS sebagai platform perdagangan halal terbesar dunia.
  • MIHAS 2026 dijadual berlangsung 23 hingga 26 September 2026 di MITEC sebagai persidangan dan pameran antarabangsa.
  • Edisi ke-22 menampilkan 14 segmen industri halal termasuk makanan, barangan pengguna, farmaseutikal, penjagaan kesihatan dan fesyen sederhana.
  • Perkenalkan kluster Women in Export (WiEX) dan teruskan program utama seperti INSP, Hosted Buyer, MIHAS Awards serta Knowledge Hub.

Ia bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030, dalam usaha memperkukuh kedudukan pameran itu sebagai platform perdagangan halal terbesar dunia.

Pelantikan itu dibuat menjelang penganjuran MIHAS 2026 yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran berkenaan merupakan edisi ke-22 dan dijangka menampilkan 14 segmen industri halal merangkumi makanan dan minuman, barangan pengguna, farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, fesyen sederhana, kewangan Islam serta perkhidmatan halal.

Penganjuran kali ini turut memperkenalkan komponen baharu seperti kluster Women in Export (WiEX) bagi memperkasakan penyertaan wanita dalam perdagangan halal global.

Selain meneruskan program utama seperti International Sourcing Programme (INSP), Hosted Buyer Programme, MIHAS Awards dan Knowledge Hub.

MIHAS 2026 dijangka menghimpunkan lebih 2,300 reruai pameran, 300 pembeli khusus serta kira-kira 45,000 pelawat perdagangan dari seluruh dunia, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab global ekonomi halal.