
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Pasaran tawaran awam permulaan (IPO) Malaysia mendahului jumlah penyenaraian di Asia Tenggara, dengan 59 IPO disenaraikan pada 2025, tertinggi sejak 2006.
- Malaysia mencatat 59 IPO pada 2025, menunjukkan pasaran tersenarai yang semakin aktif.
- Jumlah dana IPO sebanyak AS$1.4 bilion, dengan sumbangan besar dari Pasaran ACE.
- Sektor pengguna, tenaga dan sumber, serta produk perindustrian memimpin pengumpulan dana.
- Persekitaran kawal selia yang menyokong dan sentimen pelabur positif meningkatkan daya tarikan pasaran.
Berdasarkan jumlah IPO itu, AS$1.4 bilion dana berjaya diraih dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh Pasaran ACE.
Menurut Deloitte Southeast Asia Ltd, prestasi ini didorong oleh keyakinan pelabur yang berterusan serta barisan kukuh syarikat yang ingin mendapatkan modal melalui pasaran saham.
”Kepelbagaian sektor yang kukuh, sentimen pelabur yang positif dan persekitaran kawal selia yang menyokong, menjadikan pasaran IPO Malaysia berdaya tahan dan menarik minat pelabur di rantau ini.
“Kami menyaksikan penyenaraian sekunder pertama serta penyenaraian anak syarikat kepada sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Korea di Malaysia,” menurut firma itu menerusi laporan Pasaran Modal IPO Asia Tenggara 2025.
Sektor pengguna, tenaga dan sumber, serta produk perindustrian merupakan tiga industri teratas dari segi jumlah dana IPO yang dikumpul pada 2025.
Tambahnya, Singapura mendahului rakan serantau lain dari segi jumlah dana IPO dengan menyumbang sebanyak 31 peratus pada 2025, diikuti Malaysia (22 peratus), Indonesia (17 peratus) dan Vietnam (15 peratus).
“Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi, pasaran serantau kekal berdaya tahan, disokong oleh reformasi kawal selia, kepelbagaian sektor dan peningkatan keyakinan pelabur,” katanya.
”Persekitaran yang kukuh ini menunjukkan Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang menarik untuk pengumpulan modal pada 2025 dan seterusnya,” katanya.