Malaysia perkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dengan Itali dan Bangladesh

Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella (atas) dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury (bawah)/FB Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Malaysia komited memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Itali dan Bangladesh menerusi pertemuan berasingan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pertemuan dengan Duta Besar Itali untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan strategik antara Malaysia dan Itali.
  • Perbincangan menyentuh perkembangan MEUFTA serta peluang mengukuhkan kerjasama pelaburan dua hala.
  • Dialog konstruktif diyakini mampu meningkatkan aliran perdagangan dan peluang kepada komuniti perniagaan kedua negara.
  • Kunjungan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh menekankan kerjasama dalam pembuatan, rantaian bekalan, sumber semula jadi dan pembangunan modal insan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pertemuan bersama Duta Besar Itali ke Malaysia, Raffaele Langella memfokuskan kepada usaha memperluas hubungan perdagangan serta pelaburan strategik antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, pertemuan itu membuka ruang penyelarasan keutamaan strategik dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.

”Turut dibincangkan perkembangan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) serta potensi mengukuhkan kerjasama pelaburan dua hala,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, pada Khamis.

Datuk Seri Johari berkata, hubungan Kuala Lumpur dan Rom diyakini kekal teguh melalui dialog konstruktif serta komitmen bersama bagi meningkatkan aliran perdagangan dan memperluas peluang kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara.

Sementara itu, kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, Manjurul Karim Khan Chowdhury, mencerminkan hubungan erat dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

”Kami membincangkan usaha memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala, termasuk potensi kolaborasi dalam sektor pembuatan, rantaian bekalan, sumber semula jadi dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau yakin hubungan Malaysia–Bangladesh akan terus berkembang melalui libat urus berterusan dan kerjasama strategik yang memberi manfaat bersama.