Malaysia Airlines tambah penerbangan ke London dan Paris, bantu penumpang terjejas

Foto fail

KUALA LUMPUR, 6 Mac -Malaysia Airlines menyediakan penerbangan tambahan bagi laluan Kuala Lumpur–Lapangan Terbang Heathrow London (LHR) dan Kuala Lumpur–Lapangan Terbang Charles de Gaulle Paris (CDG) bermula hari ini hingga 8 Mac 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat menambah penerbangan untuk membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan berterusan dalam rangkaian perjalanan global.
  • Malaysia Airlines bertindak proaktif di tengah ketidaktentuan geopolitik untuk memberi keyakinan dan memastikan kelangsungan perjalanan.
  • Penerbangan tambahan menggunakan pesawat badan lebar A350-900 bagi menyatukan semula keluarga dan menyokong perjalanan seterusnya.
  • Penumpang boleh menempah melalui laman rasmi dan aplikasi, sementara syarikat bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memudahkan sambungan.

Syarikat penerbangan itu menerusi kenyataan memaklumkan, penerbangan tambahan itu bertujuan membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan berterusan dalam rangkaian perjalanan global.

Ketika ketidaktentuan geopolitik dan perjalanan yang semakin memuncak, syarikat penerbangan itu mengambil langkah proaktif bagi memberikan keyakinan serta memastikan kelangsungan perjalanan kepada para penumpang.

”Menerusi penambahan kapasiti pesawat badan lebar antara Asia dan Eropah, Malaysia Airlines menyasarkan untuk membantu menyatukan semula keluarga serta menyokong perjalanan selanjutnya.

”Perkhidmatan ini akan beroperasi melalui laluan alternatif yang dirancang dengan teliti bagi mengelakkan kawasan yang terjejas, dengan keselamatan kekal menjadi keutamaan utama syarikat penerbangan itu.

“Penumpang boleh membuat tempahan penerbangan menerusi laman sesawang rasmi Malaysia Airlines di www.malaysiaairlines.com atau aplikasi rasmi syarikat,” menurut kenyataan itu.

Malaysia Airlines berkata, ia akan terus mengendalikan perkhidmatan harian biasa, disamping penerbangan tambahan yang menggunakan pesawat A350-900 milik syarikat penerbangan itu.

Pada masa sama, syarikat penerbangan itu turut bekerjasama rapat dengan rakan kongsi penerbangannya di Eropah, Asia dan melangkaui benua itu untuk memudahkan sambungan perjalanan seterusnya bagi penumpang yang terjejas.