Lebihan dagangan rekod RM38.67 bilion dua bulan pertama tahun ini

Kerja-kerja membawa turun kontena daripada kapal kargo giat dijalankan di Pelabuhan Klang/foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Prestasi perdagangan Malaysia bagi dua bulan pertama 2026 kekal kukuh, dengan lebihan dagangan melonjak 137.6 peratus kepada RM38.67 bilion, manakala jumlah perdagangan meningkat sebanyak 11.0 peratus kepada RM516.89 bilion, disokong pertumbuhan eksport yang lebih tinggi berbanding import.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor barangan elektrik dan elektronik menjadi pemacu eksport, meningkat 34.2% dan menyumbang 47.3% daripada jumlah eksport.
  • Sektor jentera, kelengkapan meningkat 39.8%; minyak sawit dan produk berasaskan sawit terus penyumbang penting.
  • Eksport ke Amerika Syarikat dan Hong Kong mencatat pertumbuhan ketara, masing-masing meningkat 38.1% dan 45.8%.
  • MATRADE tingkatkan sokongan logistik, gerakkan pejabat serantau dan galakkan laluan alternatif seperti Fujairah dan Salalah.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan memaklumkan, sektor barangan elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama eksport negara dengan peningkatan 34.2 peratus kepada RM131.34 bilion, merangkumi 47.3 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan.

“Selain itu, sektor jentera, kelengkapan dan peralatan turut mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 39.8 peratus kepada RM12.49 bilion. Minyak sawit dan keluaran berasaskan sawit pula kekal sebagai penyumbang penting dengan nilai RM12.41 bilion, meningkat 6.6 peratus,” menurut kenyataan itu.

Jelas MATRADE, eksport Malaysia ke rakan dagang tradisional seperti Amerika Syarikat dan Hong Kong masing-masing berkembang 38.1 peratus dan 45.8 peratus.

“Malaysia semakin giat mempelbagaikan destinasi eksport dengan menembusi pasaran pesat membangun. Antara negara yang mencatat pertumbuhan ketara termasuk Uzbekistan, Mexico, Brazil, Afrika Selatan, Mesir, Mozambique, Sudan dan Ethiopia,” ujar MATRADE.

Menurutnya, langkah itu dilihat penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional, selain mengimbangi risiko ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata, peningkatan lebihan dagangan membuktikan momentum perdagangan negara kekal kukuh sejak tahun lalu.

“Peningkatan signifikan dalam lebihan dagangan ini menunjukkan Malaysia terus mengekalkan prestasi positif. Namun, keutamaan kami kini adalah mengurangkan kesan sekatan ‘dua hala’ yang menjejaskan penghantaran logistik, termasuk mendapatkan maklum balas masa nyata mengenai rintangan maritim,” katanya.

Menurut beliau, kira-kira 63.9 peratus pengeksport menjangkakan operasi mereka terjejas akibat kelewatan penghantaran serta peningkatan kos logistik.

Sehubungan itu, MATRADE menggerakkan pejabatnya di Dubai, Jeddah, Kaherah dan Doha bagi menyediakan maklumat risikan di lapangan serta membantu pengeksport mengurus cabaran sekatan maritim di Asia Barat.

Pengeksport juga digalakkan meneroka laluan alternatif seperti pelabuhan berisiko rendah termasuk Fujairah dan Salalah, selain memperluas pasaran ke wilayah yang kurang terkesan seperti Asia Selatan, Amerika Latin dan Afrika.

Dalam usaha memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, MATRADE turut bekerjasama rapat dengan persatuan industri seperti FMM, MCMTC dan MICCI bagi memastikan penyelarasan maklumat serta kelancaran perdagangan terus terjamin.