
SHAH ALAM, 28 Februari – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
- KWSP mengumumkan dividen 6.15% bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
- Jumlah agihan RM79.6 bilion kepada 18.1 juta ahli, termasuk RM67.1 bilion konvensional dan RM12.5 bilion Shariah.
- Penurunan dividen dari 6.30% disebabkan prestasi FBMKLCI lemah dan pengaruh pertukaran asing akibat pengukuhan ringgit.
- Aset pelaburan meningkat kepada RM1.41 trilion; ekuiti menyumbang 64% pendapatan pelaburan, dengan pulangan berbeza mengikut kelas aset.
Kadar dividen itu melibatkan jumlah agihan sebanyak RM67.1 bilion bagi Simpanan Konvensional, manakala agihan bagi Simpanan Shariah berjumlah RM12.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kedua-dua jumlah itu menjadikan keseluruhan jumlah agihan bagi tahun kewangan 2025 sebanyak RM79.6 bilion, melibatkan pembayaran kepada 18.1 juta ahli.
Jelasnya, jumlah agihan adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu disumbangkan oleh saiz caruman dan saiz dana yang lebih tinggi.
Menurutnya, KWSP berupaya memberikan kadar pulangan terkompaun yang konsisten dalam tempoh jangka pendek dan jangka panjang, di sebalik pasaran global yang tidak menentu.
”Bagaimanapun, kadar dividen yang lebih rendah berbanding 6.30 peratus untuk kedua-dua simpanan tahun lalu, adalah disebabkan dua faktor utama.
”Pertama, prestasi indeks FBMKLCI Bursa Malaysia yang lebih rendah daripada 12 peratus pada 2024 dan kedua, pendapatan dalam mata wang selain ringgit yang dipengaruhi oleh kadar pertukaran asing ekoran pengukuhan ringgit,” katanya pada sidang media pengumuman kadar dividen KWSP 2025 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kepelbagaian portfolio pelaburan merangkumi kelas aset dan pasaran, membolehkan KWSP menghadapi ketidaktentuan pasaran terutamanya pada suku kedua selepas pengumuman tarif import timbal balik oleh Amerika Syarikat.
Ujarnya, aset pelaburan meningkat kepada RM1.41 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion didorong oleh pendapatan portfolio dan jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion.
Sementara ekuiti kekal sebagai penyumbang utama pada 2025 dengan menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Pelaburan ekuiti persendirian, yang merangkumi kira-kira lapan peratus daripada keseluruhan pelaburan ekuiti, mencatatkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 10.5 peratus.
”Manakala, instrumen pendapatan tetap, menyumbang sebanyak RM26.3 bilion atau 33 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, dengan ROI sebanyak 4.3 peratus.
”Hartanah dan infrastruktur pula menjana pendapatan sebanyak RM1.6 bilion dengan ROI sebanyak 4.8 peratus berdasarkan mata wang tetap, manakala instrumen pasaran wang menyumbang RM0.6 bilion dengan ROI sebanyak 1.6 peratus,” katanya.